fbpx
Now Reading
Penulis Dakwa Karya Teks Pidato Juara Dunia ‘Diciduk’ Zhiddin Aziz [Video]

Penulis Dakwa Karya Teks Pidato Juara Dunia ‘Diciduk’ Zhiddin Aziz [Video]

Zhiddin Aziz bagaimanapun telah tampil menjelaskan situasi sebenar serta memohon maaf kepada penulis iaitu Khairul Afsan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung influencer sastera terkenal, Zhiddin Aziz yang meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa kemenangannya dalam salah satu kategori Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dibatalkan saat akhir.

Malah perkara itu turut dibahaskan oleh beberapa ahli parlimen sehingga Timbalan Menteri Kementerian Belia Dan Sukan, Adam Adli perlu menjelaskannya secara terperinci.

Penulis dakwa influencer terkenal ‘ciduk’ karyanya

Namun belum sahaja reda dengan isu tersebut, timbul pula cerita baharu apabila terdapat penulis yang mendakwa karyanya telah diciplak oleh influencer berkenaan.

Penulis yang dikenali sebagai Khairul Afsan itu memaklumkan perkara itu menerusi satu video yang dimuat naik olehnya di TikTok.

Menerusi video tersebut penulis berkenaan menyatakan teks pidato itu ditulis olehnya bersama seorang lagi pengkarya, Amirrudin Abd Rahman yang ketika itu adalah juara dunia dalam Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2011 Kategori Nusantara.

Malah Khairul turut menulis tajuk videonya “karya aku ‘diciduk’ influencer terkenal”

“Sewaktu saya menjadi jurulatih Malaysia pada tahun 2011, teks ini adalah karangan saya bersama dengan saudara Amirrudin Abd Rahman yang merupakan juara dunia pada ketika itu,” katanya.

Kongsi beberapa klip rakaman ucapan influencer dan juara pemidato dunia 2011 sama

Khairul dalam pada masa sama turut berkongsi beberapa klip rakaman yang disunting bagi menunjukkan persamaan teks yang diucapkan oleh Zhiddin serta Amirrudin.

“Saudara (Zhiddin) orang yang dikenali, disanjung sana sini, lain kali ciptalah sesuatu yang asli kerana ia adalah yang tersendiri,” jelasnya lagi.

Bukan hanya itu Khairul turut meninggalkan pesan kepada Zhiddin dalam bentuk pepatah yang berbunyi “Gelagah buah rambutan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak.

Carian kami tidak menemui pepatah tersebut namun kami menjumpai satu lagi peribahasa hampir sama berbunyi “Gelagah boreh buah rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak” bermaksud seseorang yang meniru sesuatu perkara namun tidak mendapat sebarang faedah darinya.

Zhiddin tampil mohon maaf

Walau bagaimanapun, Zhiddin yang sedar mengenai video teguran terbabit kemudian tampil memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar berhubung perkara itu.

“Maaf tuan, seikhlas hati hanya menyambut bahasa ilmu, sejujurnya tidak tahu siapa pemilik kerana ayat ini sering diguna orang sekeliling saya.

“Maka saya sering berpesan kepada yang bertanya, saya banyak belajar peribahasa dan ayat yang ada dari orang sekeliling.

“Sentiasa menceritakan proses alami, saya sangat bahagia apabila dapat tahu mana datang pokok puncanya. Saya pasti akan terus ingat nama abang (Khairul Afsan) untuk jadikan rujukan,” tulisnya di ruangan komen.

Malah dia turut berterima kasih kepada penulis berkenaan kerana telah mewarnakan ‘bahasa ilmu’ dalam kalangannya serta rakan-rakan.

Zhiddin juga memaklumkan dia akan memadam video tersebut dan sekiranya ingin memuat naik semula video itu akan memberi kredit kepada penulis.

Ini kerana dia sudah tahu siapakah gerangan pemilik asal teks tersebut.

Pesan kredit petikan diambil daripada siapa

Khairul Afsan kemudian memaklumkan kredit boleh diletakkan di dalam kapsyen dan daripada siapa ia diambil.

“Contoh nak beri kredit dalam kapsyen.. bait-bait permulaan ucapan saya tadi adalah petikan dari Pemidato Malaysia pada PABM 2011.

“Tak perlu beri alasan tak kenal pengkarya. Setiap video di YouTube jelas nama dan kejadian,” ujar Khairul Afsan di ruangan komen.

Perkongsian video penulis itu bagaimanapun telah menarik perhatian serta memberikan pelbagai reaksi di kalangan orang ramai apabila ada yang mengatakan penulis tidak perlu menuduh sebegitu rupa sebaliknya berbangga kerana karya digunakan oleh anak muda.

Tidak kurang juga ada yang mengecam tindakan Zhiddin kerana menggunakan teks tersebut.

“Saudara patut bangga sebab karya saudara diungkapkan semula oleh seorang anak muda yang berbakat”

“Terpulang pada tuan.. rasanya ada langkah yang lebih baik tuan boleh ambil dari ini untuk anak bangsa”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.