fbpx
Now Reading
Kereta Hampir Kena Curi, Pasangan Kongsi Kisah Didatangi Lelaki Mengaku Penarik Kereta

Kereta Hampir Kena Curi, Pasangan Kongsi Kisah Didatangi Lelaki Mengaku Penarik Kereta

Difahamkan, mereka didatangi seorang lelaki yang menyamar sebagai repo ketika singgah sebentar di R&R Ayer Keroh, Melaka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada zaman ini, pelbagai tipu helah dan taktik yang digunakan oleh pencuri atau scammer untuk mencuri barangan mahupun wang daripada orang lain.

Taktik dan tipu helah yang digunakan oleh pencuri ini adalah untuk mengaburi mangsa agar tidak mengetahui niat sebenar mereka.

Suami isteri kongsi kisah nyaris jadi mangsa samun kenderaan

Seperti baru-baru ini, sepasang suami isteri berkongsi kisah mereka sekeluarga yang hampir menjadi mangsa samun kenderaan.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @empatberanak, kejadian itu berlaku semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Johor.

Lelaki dakwa sebagai penarik kereta tiba-tiba datang

Ketika berhenti seketika di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka, mereka secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang mendakwa sebagai penarik kereta.

“Masa itu ada keluarga lain (kenderaan lain) dekat kawasan itu, mereka (pencuri) tak kacau pun, tapi bila keluarga tadi dah pergi tiba-tiba salah seorang lelaki datang mengaku sebagai penarik kereta,” katanya.

Lebih mencurigakan lagi, ketika mereka ingin menghubungi pihak BMW yang memberi pinjaman, lelaki terbabit berpesan agar tidak memberitahu tentang keberadaannya di sana kepada syarikat kenderaan itu.

Lelaki terbabit terus beredar selepas mangsa gagal ditipu

Susulan itu, pasangan tersebut yang sedar bahawa ia merupakan satu penipuan lantas memasuki kereta selain lelaki berkenaan juga terus beredar daripada kawasan terbabit.

Di akhir perkongsian, mereka turut memberi pesanan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah menyerahkan kunci kenderaan kepada sesiapa sahaja terutamanya yang mengaku sebagai penarik kereta.

Ini perkara yang anda perlu tahu tentang penarik kereta (EPS)

Sekadar info, menurut Fadly Hashim menerusi laman web Careta.My, Ejen Perolehan Semula (EPS) atau lebih dikenali sebagai repo yang dilantik oleh pihak bank hendaklah mempunyai permit sah yang dikeluarkan oleh kementerian.

Ini kerana EPS juga tertakhluk kepada Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011.

Berikut merupakan fakta dan info mengenai EPS yang ingin menarik kenderaan anda:
  • Mengemukakan dan menunjukkan permit yang sah.
  • Mengemukakan dan menunjukkan kad pengenalannya.
  • Mengemukakan perintah pemilikan semula daripada bank atau daripada Mahkamah.
  • EPS wajib berjumpa dengan anda semasa hendak menarik kereta anda.
  • Laporan polis tidak diperlukan oleh EPS untuk menarik kereta atau selepas menarik kereta anda.
  • EPS hanya boleh menarik kenderaan dari jam 9 pagi hingga 9 malam.
  • EPS tidak boleh menarik kenderaan yang diparkir di dalam kawasan kediaman berpagar.
  • EPS tidak boleh menarik kereta ketika cuti umum.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.