Kanak-Kanak Nyanyi Qunut Nazilah Ketika Berkhatan Undang Perhatian Ramai [Video]
Selain menyanyikan lagu Qunut Nazilah versi UNIC ketika berkhatan, dia turut menyanyikan lagu Palestin bertajuk ‘Atuna Tufuli’.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali tibanya cuti sekolah yang panjang, ramai ibu bapa yang mengambil peluang ini untuk mengadakan majlis sunat atau berkhatan anak lelaki mereka.
Malah ada juga badan bukan kerajaan (NGO) yang akan mengadakan program berkhatan secara beramai-ramai buat kanak-kanak sempena cuti sekolah.
Ketika program ini dijalankan pelbagai ragam kanak-kanak dapat dilihat, ada yang teruja, gembira, takut dan lain-lain lagi.
Yelah, kebiasaannya sunat ni umpama pengalaman ngeri buat golongan lelaki.
Namun ada juga yang dapat mengawal perasaan mereka dengan membaca surah, zikir dan juga banyak lagi.
Kanak-kanak baca doa Qunut Nazilah ketika sunat undang perhatian
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang menyanyikan doa Qunut Nazilah sewaktu sedang disunatkan oleh doktor.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @drfadzillahdryusof di TikTok, kelihatan kanak-kanak berkenaan terbaring di atas katil pesakit manakala dua orang lagi pengamal perubatan sedang melakukan proses berkhatan.
Baca dengan penuh semangat dan lantang
Namun apa yang mencuri perhatian ramai, sewaktu kanak-kanak itu sedang dikhatankan kedengaran dia menyayikan lagu Qunut Nazilah oleh kumpulan nasyid UNIC dengan penuh semangat dan lantang.
Malah dia sedikit pun tidak kedengaran menangis sepanjang membacakan doa itu.
Keadaan itu secara tidak langsung memberikan ruang kepada doktor bertugas untuk fokus kepada kanak-kanak berkenaan.
Walau bagaimanapun di tengah-tengah proses itu kelihatan doktor turut tertawa melihat reaksi kanak-kanak tersebut.
Malah Dr Fadzillah turut memuji kanak-kanak tersebut.
“Hebat semangat anak melayu, bersunat perjuangan seorang lelaki Islam yang akan menjadi imam dan pemimpin Islam kelas.
“Lepas ni kalau nak sunat kita buka lagu untuk adik-adik karaoke. Kasi hilang nervous (gugup),” kata doktor itu di kapsyen.
Selain baca Qunut Nazilah, kanak-kanak turut nyanyi lagu ‘Atuna Tufuli’
Dalam satu lagi video yang dimuat naik oleh ibu kepada kanak-kanak berkenaan @ciktiecah, kanak-kanak itu turut menyanyikan lagu Palestin berjudul ‘Atuna Tufuli’ ketika disunat.
Melihat di ruangan komen, ibu kepada kanak-kanak itu juga mengucapkan terima kasih kepada doktor yang membantu anaknya dalam proses berkhatan itu selain menyatakan keadaanya okay selepas pulang ke rumah.
“Saya ibunya.. hadir. Alhamdulillah terima kasih doktor… balik rumah pun dia okay, tak sakit,” katanya.
Turut ada yang terhibur lihat kanak-kanak terbabit
Perkongsian video itu secara tidak langsung turut menarik perhatian apabila ramai yang kagum dengan kanak-kanak tersebut yang mengamalkan doa Qunut Nazilah ketika bersunat.
Tidak kurang juga ada yang terhibur melihat telatah comel kanak-kanak itu.