Tular Kanak-Kanak Tertinggal 15 Minit Dalam Kereta, Bapa Jelaskan Situasi Sebenar [Video]
Faris berharap insiden yang menimpa anaknya itu dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa dan penjaga di luar sana.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini isu tentang ibu bapa tertinggal anak acap kali berlaku dan ia dilihat semakin membimbangkan.
Insiden seperti ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang bahaya seperti lemas, meragut nyawa serta banyak lagi. Malah kejadian meragut nyawa banyak dilaporkan di dada-dada akhbar.
Perkara itu disebabkan kurangnya oksigen serta suhu yang panas ketika kanak-kanak terkurung di dalam kereta terbabit.
Kanak-kanak tertinggal dalam kereta 15 minit sebelum disedari ibu bapa
Baru-baru ini, tular satu video di X (Twitter) memaparkan ibu bapa yang terlupa bahawa anaknya ditinggalkan di dalam kereta.
Menerusi video rakaman litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, awalnya kelihatan beberapa orang dewasa dengan segera keluar daripada sebuah rumah sambil berlari dalam keadaan yang cemas.
Sebaik sahaja keluar daripada rumah berkenaan mereka segera ke kereta jenis Honda CR-V dan seorang lelaki kemudian segera membuka kekunci pintu berkenaan.
Kanak-kanak segera dibawa keluar dari kereta sebaik pintu dibuka
Sebaik dibuka, seorang lagi wanita yang berada di bahagian pintu tempat duduk belakang segera membuka pintu dan mengendong seorang kanak-kanak keluar daripada kereta tersebut.
Sebaik kanak-kanak itu dibawa keluar, wanita berkenaan dengan segera membawanya masuk. Manakala terdapat seorang lagi wanita mengusap rambut berkenaan seperti berasa lega.
Difahamkan kanak-kanak itu selamat dan tiada sebarang kecederaan serius yang berlaku.
Bapa jelaskan situasi sebenar yang berlaku
Manakala bapa dan dua lagi wanita kemudian membuat pemeriksaan pada kenderaan dan dilihat seperti mengeluarkan sesuatu dari kereta tersebut.
Sebaik membuat pemeriksaan mereka kemudian segera masuk semula ke rumah. Menerusi video difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 15 Mac lalu sekitar jam 2 petang. Insiden itu yang tular di media sosial nyata menarik perhatian orang ramai.
Dah 15 minit turun kereta baru teringat anak tertidur dlm kereta belah belakang.
— MYNEWSHUB (@mynewshub) March 17, 2024
Syukran, selamat.
Waspada selalu ghais.
Kredit TT: Faris pic.twitter.com/hrDH38FdBl
Awalnya teman hantarkan kakak ke sekolah sebelum tertidur di tempat duduk belakang
Dalam pada itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Faris tampil di Instagram (@datofarishal) bagi menjelaskan situasi sebenar dan meminta orang ramai untuk mengambilnya sebagai pengajaran.
Katanya sewaktu kejadian datuk kepada kanak-kanak berkenaan ketika itu ingin pulang ke kampung. Namun selepas bersalaman dia kemudian tertanya ke mana anaknya Zhafira menghilang.
Ini kerana sewaktu bersalaman sebelum datuk pulang ke kampung hanya dia yang tiada sebelum si ibu menjerit memaklumkan kanak-kanak itu di dalam kereta.
“Zhafira ikut masa hantar kakak masuk sekolah darjah satu dan sekolah menegah tadi, Zhafira tertidur di belakang.. Baby Boy Qhalifa tak ikut sebab nenek ada di rumah dan tolong jagakan sekejap.
“Asalnya kereta diparkir di dalam rumah… sebab atok nak masukkan barang sebelum gerak balik jadi mama parkir kejap dekat luar rumah. Cuaca semalam memang agak panas sampai capai 42 darjah celcius.
“Nasib cermin dibuka kiri dan kanan dalam setengah jengkal. Kurang lebih 15-20 minit jugalah duduk dalam kereta. Papa terus lari ke kereta.. dalam kepala memang dah fikir macam-macam… sebab banyak kejadian berlaku terlupa anak dalam kereta dan ada sampai hilang nyawa,” ujarnya.
Bapa jerit minta alat kawalan untuk buka pintu kenderaan
Malah dia turut menjerit meminta alat kawalan kunci kenderaan untuk membuka pintu kereta terbabit sebelum dibuka oleh anak keduanya. Sebaik dibuka, Zhafira yang juga anak ketujuh dilihat masih tertidur dan tiada pergerakan membuatkan si bapa panik.
Namun dia dilihat memberikan respon sebaik adik kepada Faris mengejutnya sebelum mereka membawa Zhafira keluar dari kereta.
“Masuk rumah duduk di bawak kipas serta buka baju dan bagi minum air.. Alhamdulillah semua selamat dengan izinNya. Pengajaran pertama dan terakhir. Pastik anak-anak kita cukup kuantiti di depan mata sebelum buat kerja.”
Ramai bersyukur kanak-kanak sempat diselamatkan
Melihat di ruangan balas, ramai yang bersyukur kerana kanak-kanak itu selamat dan tiada sebarang kecederaan.
Tidak kurang juga ada yang mengingatkan agar ibu bapa sentiasa membuat pemeriksaan sebelum meninggalkan kenderaan agar kejadian sama tidak berulang lagi.