fbpx
Now Reading
Ini Info Penting Tentang Zakat Pendapatan Yang Perlu Anda Ketahui

Ini Info Penting Tentang Zakat Pendapatan Yang Perlu Anda Ketahui

Zakat pendapatan merupakan zakat bersumberkan gaji dan pendapatan profesional termasuklah semua jenis upah, imbuhan, bayaran dan hasil yang diperolehi daripada usaha dilakukan secara tetap atau sekali sekala.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Zakat merupakan salah satu kewajipan bagi umat Islam yang mempunyai harta melebihi nisab kerana ia tertakluk dalam Rukun Islam.

Islam telah menetapkan bahawa terdapat dua jenis zakat yang perlu dibayar iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Bagi zakat harta, ia terbahagi kepada beberapa kategori seperti zakat perniagaan, zakat pelaburan, zakat wang simpnanan, zakat saham, zakat emas, zakat KWSP, zakat pertanian dan zakat pendapatan.

Setiap zakat ini mempunyai syarat yang tersendiri dan Allah SWT telah mensyariatkan kewajipan berzakat bagi membersihkan diri pembayar dan mewujudkan rasa syukur terhadap nikmat yang dikurniakan.


Kewajipan Membayar Zakat Pendapatan Sebelum Akhir Tahun

Dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi sebelum memasuki tahun 2024, umat Islam diingatkan untuk membayar zakat pendapatan.

Zakat pendapatan merupakan zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional termasuklah semua jenis upah, imbuhan, bayaran dan hasil yang diperolehi daripada usaha yang dilakukan secara tetap atau sekali sekala.

Gambar sekadar hiasan.

Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 267:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Diriwayatkan daripada Abu Ubayd dan diterima daripada Hubayrah ibn Yarim, beliau berkata,“Abdullah ibn Masud memberikan kepada kami sebuah bakul yang berisi barang yang bernilai, diambil sebahagiannya untuk membayar zakat.”


Fatwa Kebangsaan Tentang Zakat Pendapatan

Memetik sumber Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan tentang Zakat Gaji dan Pendapatan Professional.

Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Syarat-syarat zakat pendapatan

Kepada mereka yang belum pernah membayar zakat pendapatan, berikut adalah syarat-syarat yang ditetapkan bagi mewajibkan seseorang menunaikan kewajipan ini.

  • Beragama Islam
  • Merdeka iaitu bebas mencari rezeki yang halal.
  • Melepasi syarat kadar dan nisab zakat pendapatan yang dikira berdasarkan harga 85 gram emas dan kadar bayarannya adalah 2.5% daripada jumlah pendapatan.
  • Memiliki harta sepenuhnya iaitu harta berkenaan adalah milik sendiri dan bukan pinjaman atau hak orang lain.
  • Harta itu boleh memberi pulangan serta dikembangkan dan bukan harta yang susut nilainya.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, syarat cukup haul tidak diwajibkan ke atas zakat pendapatan gaji kerana beberapa faktor seperti:

  • Dalil al-Quran yang mewajibkan orang kaya tentang kewajipan membayar zakat sebagai bukti iman dan kepatuhan seseorang kepada agama.
  • Mengecualikan syarat haul dalam zakat pendapatan lebih bertepatan dengan konsep keadilan. 
  • Meraikan maslahat umat Islam kerana setiap orang kaya akan menanggung keperluan ekonomi masyarakat.

NOTA: Cukup haul bermaksud simpanan atau harta yang dimiliki cukup tempoh setahun dalam perkiraan tahun Hijrah (354 hari) atau mengikut tahun masihi (365 hari).

Tetapi bolehkah seseorang membayar zakat ini secara ansuran dan melebihi tahun haul?

Jawapannya boleh dan hukumnya harus untuk membayar zakat secara ansuran pada setiap bulan. Namun apabila ia sudah melebihi haul, ia dianggap sebagai qadha zakat.


Kadar Nisab Berbeza Mengikut Negeri

Sebelum membayar zakat pendapatan, anda perlu memastikan nisab zakat pendapatan pada tahun itu kerana nisab tersebut tidak kekal dan berubah dari semasa ke semasa mengikut negeri.

Berdasarkan keputusan fatwa di peringkat kebangsaan Zakat Pendapatan adalah wajib tetapi pelaksanaannya adalah berbeza di setiap negeri berdasarkan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Sebagai contoh, kadar nisab bagi negeri Selangor pada tahun 2023 adalah RM23,035 seperti yang telah diisytiharkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) manakala nisab bagi negeri Wilayah Persekutuan adalah RM21,626.

Gambar sekadar hiasan.

Bagaimana sekiranya seseorang itu bekerja di Selangor dan tinggal di Kuala Lumpur? Di manakah mereka harus membayar zakat?

Afdal untuk membayar zakat di tempat mencari rezeki kerana fakir miskin di kawasan tersebut adalah lebih berhak untuk menerima zakat.

Hal ini sebagaimana yang difahami daripada hadis Nabi Muhammad SAW ketika mengutus Mu’az bin Jabal RA ke Yaman dengan berkata, “Ajarilah mereka bahawasanya Allah telah memfardukan ke atas mereka zakat yang diambil dari golongan kaya di kalangan mereka dan diagihkan kepada golongan fakir dikalangan mereka.” [Riwayat Al-Bukhari no 1986]


Cara Untuk Mengira Kadar Zakat Pendapatan Yang Perlu Dibayar

Terdapat dua cara utama untuk membuat kiraan zakat pendapatan dan anda boleh memilih kaedah bersesuaian mengikut kemampuan.

#1. Pengiraan Tanpa Tolakan

Cara ini adalah kaedah paling mudah kerana hanya perlu mendarabkan jumlah pendapatan kasar tahunan dengan kadar 2.5%.

#2. Pengiraan Dengan Tolakan

Cara ini dilakukan dengan menolak jumlah pendapatan kasar tahunan dengan perbelanjaan asasi (had kifayah) yang dibenarkan seperti:

  • Perbelanjaan asas diri dan keluarga
  • Nafkah isteri
  • Pemberian kepada ibu bapa
  • Caruman KWSP
  • Caruman kepada institusi kewangan dan sebagainya yang membayar zakat bagi pihak pencarum seperti Tabung Haji

Jadi pengiraannya akan dilakukan dengan cara jumlah pendapatan (selepas pelepasan) didarabkan dengan kadar 2.5%.

Sebagai info, pendapatan sampingan yang diterima daripada hasil sewa rumah juga dikira sebagai sumber pendapatan dalam kiraan zakat pendapatan.

Untuk memudahkan anda mengira kadar zakat pendapatan yang perlu dibayar, boleh klik [DI SINI].

Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Bayar Zakat Bila Keluarkan Duit KWSP? Ini Penjelasannya

Baca Artikel Berkaitan: Nak Bayar Zakat ‘Atas Langit’? Boleh!

Baca Artikel Berkaitan: Bayaran Zakat Perlu Dihebahkan, Ini Sebabnya

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.