fbpx
Now Reading
Bila Waktu Terbaik Bayar Zakat Fitrah & Apa Perlu Buat Jika Terlepas Menunaikannya?

Bila Waktu Terbaik Bayar Zakat Fitrah & Apa Perlu Buat Jika Terlepas Menunaikannya?

Hukum membayar zakat fitrah boleh menjadi harus, wajib, afdal, makruh dan haram mengikut waktu ia ditunaikan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menjelang Hari Raya Aidilfitri, orang ramai pasti telah membuat persediaan untuk menyambut hari gembira itu. Dalam melakukan segala persiapan itu, jangan pula terlupa untuk menunaikan zakat fitrah yang merupakan kewajipan tahunan buat umat Islam.

Untuk info, zakat fitrah ditunaikan bagi menampung kekurangan semasa berpuasa, selain berkongsi rezeki dengan para asnaf.

Hukum Bayar Zakat Fitrah Berbeza Ikut Waktu

Pengetahuan umum umat Islam bahawa zakat fitrah wajib ditunaikan sekali dalam satu tahun Hijrah. Akan tetapi, pembayaran zakat fitrah dalam masa berbeza sebenarnya mempunyai hukum yang berlainan.

#1 Harus

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mazhab Syafie menetapkan hukum harus bagi pembayaran zakat fitrah antara 1 Ramadan hingga akhir bulan.

Ini adalah berdasarkan catatan Ibn Hajar dalam kitabnya, sementara pemerintah pula perlu mempercepatkan bayaran zakat fitrah apabila masuk bulan Ramadan.

#2 Wajib

Pembayaran zakat jatuh wajib hukumnya setelah terbenamnya matahari hari terakhir Ramadan. Sheikh ‘Abdullah Bafadhal dalam karyanya mencatatkan:

وَتجب زَكَاة الْفطر بِشُرُوط إِدْرَاك غرُوب الشَّمْس لَيْلَة الْعِيد

Maksudnya: “Zakat fitrah diwajibkan dengan syarat melalui tenggelam matahari pada malam hari raya.”

#3 Afdal

Namun begitu, waktu terbaik atau afdal untuk menunaikan zakat fitrah adalah pada pagi hari raya dan sebelum solat sunat hari raya.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA bahawa Rasulullah SAW sendiri menunaikan zakat sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk mengerjakan solat (hari raya).”

Sumber gambar: Lembaga Zakat Selangor

#4 Makruh

Setelah selesai solat hari raya, hukum pembayaran zakat menjadi makruh memandangkan waktu sunat menunaikannya adalah sebelum solat sunat itu didirikan.

Ibn Hajar al-Haitami menerangkan bahawa hukum sunat membayar zakat sebelum solat sunat hari raya bermakna sunat juga tidak melewatkan bayaran zakat sehingga selepas solat itu dijalankan.

#5 Haram

Pembayaran zakat perlu dibuat sebelum terbenamnya matahari pada hari pertama raya. Setelah waktu itu, hukumnya menjadi haram.

Akan tetapi, tidak mengapa jika terdapat keuzuran seperti harta hilang atau tiada penerima zakat yang ditemukan. Menurut Sheikh Zakaria al-Ansari dalam karangannya:

(وَيَحْرُمُ تَأْخِيرُهَا عَنْ يَوْمِ الْعِيدِ) بِلَا عُذْرٍ كَغَيْبَةِ مَالِهِ أَوْ الْمُسْتَحِقِّينَ لِأَنَّ الْقَصْدَ إغْنَاؤُهُمْ عَنْ الطَّلَبِ فِيهِ (وَتَقْتَضِي وُجُوبًا فَوْرًا)

Maksudnya: “Haram melewatkan zakat selepas hari raya (aidilfitri) tanpa sebarang keuzuran seperti kehilangan hartanya atau hilang penerima zakat kerana zakat bertujuan untuk memenuhi tuntutan mereka. Wajib bagi orang yang melewatkan zakat itu menggantikannya serta-merta.”

Berdosa Jika Tak Tunai Zakat Fitrah

Walaupun membayar zakat fitrah diwajibkan ke atas semua umat Islam, mungkin kadangkala kita terlupa atau terlepas pandang akan perkara itu atas pelbagai faktor.

Menurut pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da’i Fuad, pembayaran zakat setelah masuk 2 Syawal dikira sebagai sedekah semata-mata. Katanya, jika pembayaran zakat sengaja dilewat-lewatkan sehingga terbenamnya matahari raya pertama tanpa keuzuran, seseorang itu dianggap berdosa.

“Dari segi penalti, memang tiada denda yang khusus. Bagaimanapun, kepada pelakunya, banyakkanlah beristighfar kepada ALLAH SWT. Ini kerana Imam Hasan al-Basri pernah berpesan agar kita melazimkan diri berbuat demikian dan banyakkan bersedekah saat kita melakukan dosa kepada ALLAH,” pesannya.

Apa Perlu Buat Jika Terlepas Bayar Zakat Fitrah?

Seorang individu yang pernah menjadi penceramah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohammad Faeez Harith, berkata fitrah masih wajib dibayar secepat mungkin walaupun telah masuk waktu haram dan disertakan dengan niat qada.

Seseorang juga perlu memohon keampunan dan bertaubat kerana telah menangguh pembayaran fitrahnya.

Seorang amil zakat, Faisal Rahim, berkata setiap tahun pasti akan ada individu yang membayar zakat fitrah selepas cuti raya.

Dia menerangkan bahawa institusi zakat masih akan menerima bayaran tersebut, tetapi ia perlu dilakukan di cawangan berdekatan dan tidak boleh lagi dikutip oleh penolong amil zakat.

Bayaran zakat itu tidak akan dimasukkan di bawah kategori sedekah dan resit Zakat Fitrah tidak akan diberikan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.