fbpx
Now Reading
Haram Hukumnya Orang Dewasa Jika Meminta-minta Duit Raya – Mufti Pulau Pinang

Haram Hukumnya Orang Dewasa Jika Meminta-minta Duit Raya – Mufti Pulau Pinang

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim perbuatan meminta-minta adalah haram kecuali jika seseorang itu berada dalam keadaan terdesak namun dengan syarat tertentu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan antara perkara yang menarik setiap kali tibanya Syawal adalah memberi duit raya kepada sanak-saudara, kanak-kanak dan juga kenalan.

Meskipun, pemberian duit raya bukanlah sesuatu perkara yang wajib tetapi jika dilakukan akan mendapat ganjaran kerana ia merupakan satu bentuk sedekah.

Akan tetapi, ada pula segelintir individu khususnya orang dewasa yang menjadikan duit raya sebagai satu perkara yang wajib sehingga ada yang meminta-minta.

Malah ada juga yang sanggup menghantar pesanan peribadi dengan memberikan kod QR semata-mata nak minta duit raya untuk anak-anak mereka. Budaya ini adalah sesuatu yang tidak sihat selain boleh membuatkan tuan rumah atau si pemberi rasa tidak ikhlas apabila ingin memberikan duit raya.

Baca artikel berkaitan: Wanita Tegur Sikap Ibu Bapa Tak Malu ‘Spam’ Kod QR Semata-mata Nak Minta Duit Raya Untuk Anak

Haram hukumnya kepada golongan dewasa untuk minta duit raya

Mungkin mereka terlepas pandang atau tidak menyedari yang Mufti Pulau Pinang iaitu Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor sebelum ini ada menjelaskan hukum mengenai perbuatan meminta duit raya.

Jelasnya adalah haram bagi individu dewasa yang sudah cukup umur atau akil baligh meminta duit raya termasuk hadiah.

Ini kerana perbuatan meminta-minta tersebut boleh mengundang kepada aib atau menjatuhkan air muka kerana belum tentu individu yang diminta itu boleh memenuhi permintaan mereka atau sebaliknya.

Ujarnya, Islam juga tidak gemar kepada sifat pemalas serta pengangguran bahkan mahu seseorang itu untuk usaha mencari rezeki atau pendapatan yang halal.

Hanya boleh meminta jika terdesak namun ada syarat

Menurutnya hukum asal bagi perbuatan meminta-minta adalah haram kecuali sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan terpaksa atau terdesak namun ia juga mempunyai syarat tertentu.

“Tetapi dengan syarat pemin­ta tak berkeras terhadap orang yang diminta sehingga menjatuhkan air muka sendiri.

“Nabi SAW bersabda tidak halal meminta-minta kecuali dalam tiga situasi iaitu seorang yang menanggung beban perbelanjaan kerana menggunakannya untuk mendamai antara dua kumpulan yang bersengketa dan seorang ditimpa bencana sehingga rosak binasa hartanya,” ujarnya, dipetik laporan Kosmo pada April 2023.

Manakala bagi golongan ketiga pula adalah mereka yang papa dan dilihat kepapaanya oleh tiga orang di kalangan kaum sendiri.

Meminta ini hanya dibenarkan jika betul-betul memerlukan atau terdesak untuk meneruskan kehidupan.

Tambah beliau lagi, tindakan meminta duit raya ketika lebaran juga boleh memberikan pandangan yang rendah khususnya kepada si pemberi.

Tidak berdosa jika permintaan dibuat oleh kanak-kanak, mereka perlu diberikan kasih sayang

Walau bagaimanapun, adalah tidak berdosa jika perbuatan meminta duit raya dilakukan oleh kanak-kanak dan tindakan memberikan duit raya itu akan menceriakan si kecil.

“Jika kanak-kanak ia bukan dosa, tetapi bukan kepada orang dewasa. Sebab agama menggalakkan kita berusaha dan mencari rezeki sendiri.”

Namun pemberian haruslah mengikut kepada kemampuan masing-masing dan ia juga sebagai simbol kasih sayang daripada orang dewasa ke atas kanak-kanak.

“Tidak perlulah tunggu mereka meminta duit raya, sepatutnya kita orang dewasa menghulurkannya dahulu terutama di hari lebaran ini sekadar menceriakan hati kanak-kanak.

“Lebih elok menyediakan amaun yang munasabah dan tidak membebankan seseorang serta mampu disediakan. Ini sekadar memberi keceriaan dan ke­gembiraan buat kanak-kanak,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.