fbpx
Now Reading
“Ramai Customer Tertipu” – Khairul Aming Ambil Tindakan Ke Atas Pihak Ciplak Sambal Nyet

“Ramai Customer Tertipu” – Khairul Aming Ambil Tindakan Ke Atas Pihak Ciplak Sambal Nyet

Khairul Aming telah menyenaraikan lapan tuntutan dalam letter of demand (LOD) yang dihantar kepada pihak Sambal Nyet Khairi susulan isu ciplak produk Sambal Nyet.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bagi seseorang yang bergelar usahawan, menjalankan sebuah perniagaan bukanlah satu perkara mudah untuk ditempuhi kerana ia melibatkan pelbagai cabaran dan rintangan daripada para pesaing.

Antara isu yang sering dilalui oleh golongan tersebut adalah apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak meniru hasil kerja atau ciplak rekaan produk sedia ada.

Sehingga kini, kes sedemikian masih giat berlaku dan ia telah menimbulkan kesulitan terhadap peniaga yang telah bekerja keras bagi mengusahakan jenama mereka.


Khairul Aming Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Individu Ciplak Sambal Nyet

Semalam (28 Disember), influencer media sosial dan pengasas produk Sambal Nyet, Khairul Aming telah memuat naik satu ciapan di laman X (Twitter @khairulaming) memaklumkan bahawa dia telah mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti cuba meniru produk makanannya.

Jelasnya, pihak mereka ambil cakna tentang kewujudan Sambal Nyet Khairi sejak beberapa hari yang lepas namun memerlukan sedikit masa bagi tujuan mengumpulkan bahan bukti.

“Kami dah beli sambalnya untuk dijadikan bukti dan jejak siapakah penjual terbabit,” ujarnya lagi.

Di dalam hantaran tersebut, Khairul Aming sempat menunjukkan perbezaan di antara kedua-dua produk tersebut di mana rupa dan reka bentuk pembungkusannya adalah lebih kurang sama.

Selain itu, Sambal Nyet Khairi juga dilihat memberikan satu poskad yang mempunyai penulisan iklan yang mirip Sambal Nyet oleh Khairul Aming.

Sumber: Instagram (@khairulaming)

Pengeluaran produk ciplak itu bukan sahaja tidak beretika malah ia juga telah menyebabkan ramai yang terpedaya serta tertipu dengan pembelian Sambal Nyet Khairi.

“Sambalnya sangat sama. Kita telah kenal pasti siapakah seller dan hari ni (28 Disember) peguam kami dah hantar letter of demand (LOD) di atas Infringement of Intellectual Property Rights and Passing Off,” katanya menerusi hantaran sama.


8 Tuntutan Disenaraikan Dalam LOD

Menurut Khairul Aming, terdapat lapan tuntutan yang disenaraikan dalam LOD yang dihantar. Namun begitu, usahawan itu tidak menjelaskan tuntutan tersebut dengan lebih lanjut.

“Jika mereka gagal penuhi kesemua tuntutan tersebut kita akan bawa kes ini ke proses undang-undang yang seterusnya,” tegasnya.

Dia dalam masa sama menjelaskan bahawa tanda dagangan Sambal Nyet telah didaftarkan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan diluluskan pada 2 November 2021 lalu.

Menerusi perkongsian, pempengaruh media sosial itu mengambil peluang untuk mengingatkan orang ramai agar sentiasa berniaga secara beretika dan berhemah.

“Saya selalu beri sokongan kepada peniaga kecil tetapi berniagalah dengan cara yang beretika dan berhemah. Jangan aniaya orang ramai macam ini,” kata usahawan kelahiran Kelantan itu.

Terdahulu, penjualan produk Sambal Nyet Khairi telah mendapat kecaman netizen kerana barangan tersebut dikatakan telah meniru Sambal Nyet keluaran Khairul Aming.

Menerusi beberapa perkongsian di laman X dan Facebook, produk yang mempunyai pelekat dan pembungkusan yang lebih kurang sama itu telah dijual pada harga RM13.11 di platform TikTok. Walau bagaimanapun, jualan produk berkenaan di platform Shopee telah dipadam.

Sumber: X

Baca Artikel Berkaitan: “Senang Je Tiru” – Netizen Bengang Kemunculan Sambal Nyet Menyerupai Produk Khairul Aming


Reaksi Netizen Terhadap Respon Khairul Aming Tentang Isu Ciplak Produk

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai telah memberi pujian kepada Khairul Aming kerana mengendalikan isu tersebut dengan tenang dan secara profesional.

“Such a profesional response. Tidak bising dan maki, terus proceed legal action dan educate orang ramai tentang isu ini,” kata seorang wanita.

Malah, ramai juga yang telah menasihatkan peniaga di luar sana untuk tidak melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut kerana ianya adalah salah di sisi undang-undang.

“Ilmu dan adab penting dalam berniaga. Kalau tiru dan jatuhkan orang, mereka (peniaga) tidak akan dapat pergi jauh,” kata seorang netizen.

Sumber: Instagram (@khairulaming)

Kes Ciplak Produk Sambal Nyet Pernah Berlaku Pada 2021

Pada tahun 2021 lalu, Khairul Aming telah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak yang didakwa telah menjual produk Sambal Nyet palsu kepada orang ramai.

Selepas dua hari Khairul Aming menyuarakan perkara tersebut melalui perkongsian di laman X (Twitter), pihak yang menjual Sambal Nyet palsu berkenaan kemudian tampil berjumpa dengannya untuk membuat pengakuan salah serta meminta maaf dan menyesali atas perbuatan tidak bertetika itu.

Berikut adalah tiga tuntutan yang diminta dari Khairul Aming terhadap penjual berkenaan:

  1. Bayar pampasan tunai
  2. Permohonan maaf secara terbuka
  3. Pengakuan salah di balai polis
Sumber: X (Twitter @khairulaming)

Baca Artikel Berkaitan: Khairulaming Tuntut 3 Perkara Lepas Reseller SambalNyet Palsu Tampil Akui Salah & Minta Maaf

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.