fbpx
Now Reading
Tertipu Tawaran Kerja, Lelaki Diseludup Ke Myanmar Sebelum Dijadikan Tebusan RM140,000

Tertipu Tawaran Kerja, Lelaki Diseludup Ke Myanmar Sebelum Dijadikan Tebusan RM140,000

Menurut Wei Mun, mereka sekeluarga tidak mengetahui dimanakah keberadaan abang sebelum berjaya mengakses tablet milik lelaki berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu rakyat Malaysia ditipu tawaran kerja sudah sering berlaku di negara ini.

Malah lebih parah lagi apabila ada yang turut dibawa sehingga ke luar negara kononnya kerana tawaran kerja itu menjanjikan gaji yang lumayan.

Namun semuanya berubah apabila mereka kemudiannya terperangkap di sesebuah negara sehingga sukar untuk pulang ke negara ini.

Bukan hanya itu, ada yang terpaksa membayar wang yang besar sebagai tebusan sekiranya ingin pulang ke tanah air.

Lelaki terpedaya tawaran kerja di Hong Kong kononya dapat gaji RM18,000

Perkara sama turut berlaku kepada seorang lelaki yang terpedaya dengan tawaran kerja selepas dipelawa rakan dan akhirnya diseludup ke Myanmar menggunakan jalan sungai.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh adik lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Choo Wei Mun yang berusia 26 tahun mengenai nasib abangnya.

“Kawan ajak abang kerja di Hong Kong dengan gaji RM18,000 untuk empat hari, rupa-rupanya abang diseludup ke Myanmmar melalui jalan sungai,” jelasnya.

Jadi mangsa permerdagangan manusia, diminta wang tebusan RM140,000 jika nak balik Malaysia

Difahamkan dia menjadi mangsa sindiket kepada pemerdagangan manusia di KK Garden, Myanmar.

Jelasnya selain terpedaya, pihak sindiket berkenaan turut meminta wang tebusan bernilai RM140,000 sekiranya ingin pulang ke negara ini.

Katanya, sebelum ini si abang adalah ejen hartanah dan telah ditawarkan untuk membuka akaun di Hong Kong.

“Kami sekeluarga langsung tidak mengetahui mengenai tawaran pekerjaan terbabit. Abang hanya beritahu dia akan ke Johor untuk bekerja pada 13 Disember tahun lalu.

“Kemudian, teman wanitanya memaklumkan dia dibawa ke Bangkok, Thailand dan berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya dipetik Kosmo.

Berjaya kesan keberadaan abang selepas akses tablet abang di rumah

Namun selepas beberapa hari pemergian abang Wei Mun akhirnya berjaya mendapatkan informasi dan maklumat berhubung lokasi keberadaan abangnya menerusi WhatsApp grup yang diakses dari tablet kepunyaan si abang yang kebetulan ditinggalkan di rumah.

“Selepas tiada khabar berita daripada abang, saya jumpa ‘tablet’ miliknya di rumah dan boleh akses WhatsApp abang. Dari situ, saya dapat tahu abang dibawa ke Myanmar melalui jalan sungai.

“Dia juga ada meminta bantuan daripada kenalan di tempat kerja untuk meminjam wang sebanyak RM140,000 untuk pulang ke Malaysia.”

MHO sedang usaha kesan mangsa

Oleh itu, Wei Mun berharap agar abangnya dapat dibawa pulang ke negara ini dengan selamat sebelum berlangsungnya Tahun Baru Cina pada Februari.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo memaklumkan mereka sedang berusaha mengesan abang Wei Mun melalui kerjasama dengan pihak kerajaan serta kedutaan.

“Kami akan berbincang dengan pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar untuk mencari penyelesaian terbaik dan paling selamat untuk membawanya kembali,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.