Video Budak Perempuan Gurau Depan Pintu & Halang Jemaah Solat Cetus Perdebatan
Tular satu perkongsian di laman X (Twitter) menyaksikan seorang kanak-kanak perempuan sedang menghalang seorang individu memasuki sebuah masjid untuk menunaikan solat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum sedia maklum, anak kecil merupakan golongan yang memerlukan didikan ibu bapa yang sempurna sejak usia muda.
Hal ini kerana ia mampu membentuk kanak-kanak untuk memiliki peribadi yang baik bila apabila sudah meningkat dewasa.
Buat mereka yang beragama Islam, ramai golongan ibu bapa yang mengajar anak mereka ke masjid. Namun, dalam sesetengah kes tindakan tersebut dikatakan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.
Kanak-kanak Halang Jemaah Masuk Pintu Masjid
Baru-baru ini, tular satu hantaran menerusi laman X (Twitter) menyaksikan dua orang kanak-kanak perempuan sedang bermain dalam sebuah masjid.
Menerusi perkongsian tersebut, seorang kanak-kanak yang sedang memakai telekung dilihat menghalang seorang individu untuk memasuki ruang masuk masjid bagi tujuan menunaikan solat.
Individu yang cuba membuka pintu kaca itu pula difahamkan sudah terlambat untuk solat secara berjemaah bersama makmum lain.
Jika dilihat daripada riak wajah ceria budak perempuan itu, dia seolah-olah hanya mahu bergurau dan menyakat individu yang cuba memasuki masjid tersebut.
Namun begitu, kelakuan kanak-kanak tersebut telah mendapat tumpuan orang ramai di media sosial.
Reaksi Netizen Lihat Gelagat Anak Kecil Yang Menghalang Pintu Masjid
Menjengah ke ruangan balas, ramai juga di kalangan warganet dilihat tidak berpuas hati dan ‘geram’ dengan kelakuan anak kecil yang dikatakan telah menyusahkan jemaah masjid.
“You do not know how annoying this is. Jangan biasakan sangat, ‘Ala budak takpe’. Disebabkan frasa itulah ramai yang biadab dan kurang ajar sekarang,” kata seorang lelaki.
Sementara itu, ada juga yang berpendapat bahawa ibu bapa tidak sepatutnya membawa anak-anak yang sukar dikawal ke tempat ibadah.
“Seeloknya kakak-kakak, jangan la bawa anak yang kau rasa amat nakal pergi solat berjemaah. Kau solat je dekat rumah,” ujar seorang warganet.
Dalam pada itu, ada juga yang menyangkal pandangan tersebut dan berkata bahawa tindakan ibu bapa membawa anak ke masjid sejak usia kecil adalah satu perkara yang baik.
“Bagus adik. Tahniah mak ayah kepada adik sebab biasakan pergi ke masjid daripada kecil,” jelas seorang netizen.
Dalam masa sama, ramai juga menghentam netizen yang memaki dan mengutuk anak kecil tersebut di ruangan balas kerana sikapnya dikatakan menyusahkan para jemaah.
“Tak relax komen dekat sini. Siap mencarut dekat budak-budak ni. Jangan halang budak-budak datang ke masjid. Kita ni banyak dosa, budak tiada. Mereka yang ‘aminkan’ doa kita yang banyak dosa ni. Mulia sangat ke sampai tak bagi budak datang masjid?” jelas seorang wanita.
Boleh Atau Tidak Bawa Anak Ke Masjid?
Isu tentang ibu bapa yang membawa anak ke masjid ini telah menjadi topik hangat khususnya dalam kalangan jemaah sejak dahulu lagi.
Oleh disebabkan itu, pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus sebelum ini pernah menjelaskan hukum melakukan perkara tersebut. Menurutnya, jika ibu bapa membawa anak kecil dengan tujuan mengganggu jemaah lain, maka ia tidak dibenarkan.
Manakala jika ibu bapa tersebut membawa anak untuk membiasakan diri mereka ke rumah Allah SWT, maka ia tidak menjadi masalah walaupun mereka berlari-lari atau bermain.
Jelasnya, sikap anak kecil yang suka bermain dalam masjid merupakan tabiat yang sudah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW.
Namun begitu, janganlah pula dibiarkan kelakuan anak begitu sahaja. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan untuk menasihat anak kecil mereka supaya tidak menimbulkan kecoh dan mengajak mereka untuk solat bersama.
Masjid Bina Taman Permainan Agar Anak Tak Ganggu Jemaah Masjid
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, beberapa masjid di Malaysia telahpun membina taman permainan serta menyediakan ruang khas buat kanak-kanak. Dengan inisiatif tersebut, isu tentang kanak-kanak yang mengacau para jemaah dapat dibendung.
Seperti sebelum ini, tular Masjid Madad, Sungai Petani, Kedah apabila pihak pengurusan telah membina taman permainan khas untuk anak para jemaah. Dalam masa anak kecil bermain, mereka juga boleh menambah ilmu pengetahuan kerana terdapat replika huruf-huruf jawi.
Baca Artikel Berkaitan: “Masjid Di Kedah Memang Semua Best” – Reviu Masjid Baru Ada Hotel Kapsul Undang Perhatian!
Baca Artikel Berkaitan: Jemaah Wanita Bawa Anak Dihalau Dari Ruangan Utama Masjid? Ini Apa Yang Sebenarnya Berlaku