Peniaga Bazar Raya Hiba, Kurang Pelanggan Hingga Jualan Terjejas [Video]
Seorang peniaga di sebuah bazar raya berkata pengunjung dan keuntungan jualan masih kurang walaupun sudah tiga minggu beroperasi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seluruh negara kini dimeriahkan dengan bazar raya yang menjual pelbagai persiapan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Seperti yang dilihat melalui platform media sosial, bazar Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur pada waktu malam amat sesak dengan kehadiran orang ramai.
Namun situasi itu tidaklah berlaku di semua tempat, yang mana ramai juga para peniaga sedang bergelut mencari sumber rezeki.
Bazar Raya Lengang Tanpa Pengunjung
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@pondok.kuehjb), menyaksikan suasana di bazar raya A Mart Kempas, Johor yang sepi tanpa pengunjung.
Menurut pemilik perniagaan kuih raya itu, kebanyakan produk-produk yang dijual di tempat tersebut masih belum terjual walaupun sudah tiga minggu memulakan operasi.
Jelasnya, tempat itu dipilih sebagai ‘spot’ berniaga kerana harga sewa tapak yang berpatutan.
Untung Sikit Beri Impak Kepada Pendapatan
Tambahnya lagi, bantuan para influencer, media dan aktiviti pemasaran yang sudah dilakukan tidak membantu dalam meningkatkan jumlah pengunjung ke lokasi bazar tersebut.
Jumlah pengunjung yang sedikit itu sekaligus menyebabkan keuntungan diperoleh adalah kurang daripada tahun-tahun sebelumnya. Malah, ia juga memberi impak kepada pendapatan peniaga bazar.
Terkesan sungguh kami tahun ni (untuk) modal gaji pekerja. Mereka (pekerja) pun nak raya macam orang lain. Stok kuih dan baju raya kami banyak lagi.
Pengendali akaun TikTok Pondok Kueh JB.
Harap Orang Ramai Memeriahkan Bazar Raya
Dalam pada itu, pihak mereka juga berharap agar orang ramai boleh menyokong dan hadir memeriahkan bazar raya tersebut jika berkesempatan.
Tambahnya lagi, peniaga di sana hanya berharap agar stok yang ada dapat dihabiskan.
“Mana yang ada rezeki lebih jemput datang ya sebab kami pun faham korang pun strugle kan?” kata pengendali akaun Pondok Kueh JB.
Netizen Beri Reaksi Pelbagai Tentang Pengunjung Yang Sikit Di Bazar
Menjengah ke ruangan komen, ramai di kalangan peniaga bazar turut berkongsi kisah sama di mana mereka bergelut dengan keuntungan yang sedikit.
“Rasa benda yang sama. Tetap teguh adik. Kita serah segala pada Dia. Akak pun dah habis berderai segala air mata sepanjang Ramadan ni. Rasanya lebih challenging dari zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu,” luah seorang peniaga.
Dalam pada itu, ramai juga berpendapat bahawa platform atas talian yang lebih murah berbanding kedai fizikal adalah antara punca pengunjung yang sedikit di bazar.
“Kami memang tak pergi dah kedai fizikal. Semua online atau COD (cash on delivery). Murah dan lebih mudah, jimat masa dan tak penat kaki. Kalau keluar dengan anak-anak bermacam ragam satu hal, panas lagi, penat, dan kos berganda,” jelas seorang wanita.
Sementara itu, ramai juga dilihat mahu memberikan sokongan kepada peniaga yang terjejas selain menitipkan doa agar segala urusan para peniaga dipermudahkan.
“Semoga Allah limpahkan rezeki yang lebat-selebatnya untuk kamu semua yang sedang berjuang mencari rezeki di bulan Ramadan ini,” kata seorang netizen.
Baca Artikel Berkaitan: Netizen Dakwa Mahu Boikot Bazar Ramadan, Pertikai Harga Makin Mahal & Tak Jaga Kualiti