Tular Pelancong Asing Dihalau Keluar Dari Kuil Di Bali Kerana Berpakaian Tidak Sopan [Video]
Menurut Ketua Pengurusan Kuil Agung Besakih, kesemua pelancong terbabit berjaya memasuki kawasan berkenaan melalui ‘jalan tikus’ dan bukannya pintu masuk utama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi tanggungjawab untuk setiap orang yang bercuti ke sesebuah negara untuk menghormati undang-undang yang telah ditetapkan. Apatah lagi jika peraturan itu berkaitan dengan agama dan adat.
Namun, tidak dinafikan sehingga kini masih ada sikap segelintir pelancong asing yang tidak mengendahkan tentang peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu.
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan beberapa pelancong asing diarah keluar daripada kawasan Kuil Agung Besakih di Bali, Indonesia kerana tidak mematuhi peraturan di sana.
Pelancong pakai tak sopan punca dihalau keluar dari Kuil Agung Besakih
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram @infobali.viral, pelancong-pelancong warganegara Rusia itu diarah meninggalkan tempat terbabit kerana mereka berpakaian tidak sopan.
Dalam video sama, turut kelihatan pelancong lelaki terbabit seakan tidak berpuas hati dengan arahan yang diberikan oleh dua anggota polis Bali (Pecalang).
Memetik Detik Sumut, Ketua Pengurusan Kuil Agung Besakih, I Gusti Lanang Muliarta berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu (30 Mac).
Pelancong pakai tak sopan berjaya masuk melalui laluan tikus
Menurutnya, kesemua pelancong terbabit berjaya memasuki kawasan berkenaan melalui ‘jalan tikus’ dan bukannya pintu masuk utama.
“Mereka sudah dua kali dihalang oleh pihak petugas ketika cuba masuk ke dalam kawasan Kuil Agung Besakih melalui jalan tikus, tetapi petugas kalah dengan hujan kerana pelancong itu sedikit angkuh,” katanya.
Menurutnya lagi, para pelancong terbabit akhirnya meninggalkan kuil tersebut setelah pihak polis Bali menghalang mereka untuk masuk lebih dalam ke kawasan berkenaan.
Kawalan laluan tikus akan diperketatkan, jumlah petugas akan ditambah
Susulan kejadian itu, Muliarta berkata, mereka akan memperketatkan lagi kawalan di beberapa laluan tikus di kuil terbabit dengan menambah jumlah petugas.
“Tadi saya sudah mengarahkan petugas yang jaga laluan untuk berani berhujah, sekiranya mereka (pelawat) melawan laporkan terus ke pihak polis yang bertugas di sekitar Kuil Agung Besakih supaya tindakan lanjut segera diambil,” katanya lagi.
Kuil Agung Besakih tempat suci untuk penganut Hindu di Bali
Sekadar info, selain kawasan tumpuan pelancong, Kuil Agung Besakih atau Mother Temple of Bali juga merupakan tempat yang dianggap suci oleh penganut Hindu di Bali.
Oleh kerana itu, para pelancong yang ingin melawat kuil terbabit perlulah memakai pakaian yang sopan.
Pihak pengurusan kuil berkenaan juga menyediakan kain untuk dipakai bagi pelawat yang memakai seluar pendek dan sebagainya.