Tular Pengunjung Lelaki Rambut Panjang Diminta Pakai Tudung, Masjid Negara Mohon Maaf
Masjid Negara dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit dan memohon maaf di atas kekhilafan pengawal wanita itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini tular di media sosial video seorang lelaki yang diminta memakai jubah dan tudung ketika memasuki Masjid Negara.
Menerusi video yang dikongsikan di Twitter itu, lelaki berkenaan telah ditegur oleh seorang pengawal keselamatan wanita untuk menutup ‘auratnya’ kerana rambutnya yang panjang.
Meskipun pengunjung masjid berkenaan sudah menjelaskan yang dia adalah seorang lelaki justeru tidak perlu memakai tudung, namun pengawal wanita itu masih bertegas dan memintanya untuk memakai pakaian yang disediakan pihak masjid.
Perkongsian video tular tersebut membuat ramai tertanya-tanya apakah wanita berkenaan tidak peka dengan jawapan yang diberikan lelaki tersebut atau dia sememangnya sengaja berbuat demikian.
Ada juga yang berpendapat rambut lelaki berkenaan yang panjang seperti wanita membuatkan pengawal itu menjadi keliru.
Namun ada yang kurang bersetuju dengan teori tersebut apatah lagi suaranya yang begitu jelas seperti seorang lelaki.
Tidak kurang juga ada segelintir netizen yang merasakan insiden itu sebagai sesuatu yang lucu kerana reaksi pemuda berkenaan yang dilihat bingung dengan arahan yang diberikan oleh pengawal wanita terbabit.
Masjid Negara mohon maaf, pengawal sudah ditegur
Terbaharu Masjid Negara membuat permohonan maaf secara terbuka kepada lelaki berkenaan di atas kekhilafan pengawal wanita itu.
Masjid Negara dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook pada 6 April berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit.
“Pihak Pengurusan Masjid Negara mengambil serius terhadap perkara ini dan dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan dan kekeliruan pengawal keselamatan wanita tersebut.
“Untuk makluman, pengawal keselamatan adalah lantikan pihak ketiga iaitu syarikat keselamatan yang dilantik melalui perolehan kerajaan,” kata Masjid Negara.
Mereka juga telah bertindak menegur pengawal wanita berkenaan bagi mengelakkan insiden sama berulang di masa akan datang.
Sebagai info, etika pemakaian yang ditetapkan di masjid demi memelihara kesuciannya bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia turut dipraktikkan di semua rumah ibadat.
Di masjid-masjid utama sebagai contoh di Masjid Putrajaya dan Masjid Negara ada menyediakan tudung atau skarf termasuk jubah khas buat para pengunjung yang tidak memenuhi kriteria pemakaian termasuk yang bukan Islam.
Namun arahan mengenakan penutup kepala untuk lelaki tidak pernah atau jarang berlaku memandangkan kaum Adam tidak diwajibkan untuk menutup rambutnya.