fbpx

Poster Tular Di Media Sosial, Penganjur Batalkan Pertandingan ‘Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh’

Kata Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor laporan polis berhubung isu itu telah dibuat selain turut membuat pertemuan dengan pihak Pejabat Agama Islam Daerah bagi memastikan program seperti itu tidak dianjurkan di Temerloh.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sudah menjadi kebiasaan apabila tibanya Hari Raya, ramai yang ingin mengambil kesempatan untuk melakukan rumah terbuka dan menjemput kenalan serta orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan majlis.

Malah ada yang turut mengadakan pelbagai aktiviti selingan sebagai salah satu cara menghiburkan tetamu yang datang.

Poster tular di media sosial sebelum dibatalkan

Namun berbeza dengan apa yang berlaku kepada salah satu rumah terbuka ini apabila acara yang bakal diadakan pada Ahad (21 April) menjadi perhatian selepas poster ‘Pakaian Beragam Janda-Janda Daerah Temerloh’ tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial termasuk laman X.

Terbaharu, pertandingan yang dijangkakan berlangsung di Taman Tasik Chatin, Mentakab berkenaan telah dibatalkan.

Menurut wakil penganjur iaitu Uncle John pembatalan pertandingan tersebut dilakukan sebaik mendapat nasihat daripada pihak berkuasa serta Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.

Kata Uncle John, pertandingan itu dilakukan sebagai aktiviti selingan bagi jamuan raya yang juga dianjurkan pada hari sama.

“Sebenarnya dari awal, ia hanya acara suka-suka yang dirancang oleh kami dan hanya dimaklumkan dalam kumpulan kecil kami.

“Tidak sangka poster pertandingan ditularkan di media sosial dan terkejut apabila ramai yang berminat menyertai pertandingan ini,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

Penganjur mohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan yang dilakuan

Menerusi poster yang tular itu, penyertaan pertandingan pakaian beragam itu telah dibuka kepada peserta yang berusia 20 tahun dan ke atas.

Selain itu, pihak penganjur berharap agar perkara berkenaan tidak dipanjangkan serta memohon maaf atas apa yang berlaku.

“Saya memohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan yang dilakukan dalam perkara ini.

“Sudah tentu saya memahami bahawa isu ini bakal menjadi perkara sensitif dan boleh mencetuskan perasaan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam di Temerloh dan di Pahang secara amnya.

“Saya dengan rasa rendah diri, sekali lagi memohon maaf atas kelemahan di pihak kami dalam perkara ini.”

Ahli Parlimen Temerloh kesal dengan penganjuran pertandingan tersebut

Dalam pada itu, Salamiah Mohd Nor menerusi satu hantaran di Facebook turut meluahkan rasa kesal dan membantah penganjuran acara terbabit.

Katanya, beliau telah menerima serta meneliti laporan yang sampai ke pejabat berhubung acara tersebut sebelum mengarahkan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh menghubungi penganjur menerusi nombor yang tertera pada poster berkenaan.

“Saya telah menerima maklumbalas daripada pihak penganjur yang memberikan komitmen untuk membatalkan acara ini dan hanya menjalankan acara rumah terbuka Aidilfitiri sahaja.

“Saya bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiah Kasdan telah membuat laporan polis dan pertemuan pihak Pejabat Agama Islam Daerah bagi memastikan acara sebegini tidak akan pernah ada tempat untuk dianjurkan di bumi Temerloh yang sejahtera ini,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, memo bantahan juga telah dihantar kepada Al-Fadhil Qadhi Abdul Aziz Abd Karim di Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh.

Antara kandungan yang terdapat dalam surat bantahan tersebut adalah aktiviti tersebut disebarkan secara terbuka dengan tujuan tidak bermoral itu telah mendatang ketidakselesaan orang awam dan terang-terangan menyalahi undang-undang agama Islam dan boleh mengundang pelbagai bentuk fitnah.

Beliau turut memohon agar satu siasatan dan tindakan keras diambil terhadap penganjur agar perkara ini tidak dijadikan budaya di daerah berkenaan.

Salamiah dalam masa sama turut memesan kepada semua rakyat di Temerloh agar isu itu dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran bersama.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.