fbpx
Now Reading
Mahkamah Tolak Permohonan Pekebun Musang King Cabar Notis Kosongkan Tanah

Mahkamah Tolak Permohonan Pekebun Musang King Cabar Notis Kosongkan Tanah

Mahkamah turut mengesahkan status 186 pekebun Musang King itu sebagai penduduk haram.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (24 April), Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman 186 pekebun Musang King sekitar Raub terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan notis arahan pengosongan tanah.

Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Datuk Saiful Edris Zainuddin berkata, Hakim Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas mendapati pekebun terbabit tidak memiliki hak dari segi undang-undang untuk berada di tanah berkenaan.

Mahkamah sahkan status pekebun terbabit sebagai penduduk haram

Menurutnya, mahkamah turut mengesahkan status para pekebun Musang King itu sebagai penduduk haram selain tindakan kerajaan negeri Pahang menghalau mereka bukanlah berniat jahat.

“Malah pelan pemutihan yang ditawarkan juga tidak ada unsur berat sebelah dan masih boleh dirunding dengan pihak-pihak terlibat,” katanya dipetik Harian Metro.

Pekebun berkenaan perlu bayar RM600,000 kepada semua responden

Difahamkan, mahkamah pada masa sama turut memerintahkan pekebun terbabit membayar kos berjumlah RM600,000 kepada semua responden.

Pada 2020, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam dengan pokok durian Musang King sekitar Raub yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Mereka menamakan Pentadbiran Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Gambar sekadar hiasan (Foto: Pexels)

Royal Pahang Durian Resources dapat pajakan dan hak penggunaan tanah terbabit

Selain itu, mereka turut meminta semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberi pajakan serta hak penggunaan tanah itu kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pekebun itu juga ingin menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terbabit kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Kesemua responden juga diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang iaitu Dorah Abdul Kadir, Abdul Hafiz Razat; Fatin Nur Syahirah serta peguam Tan Sri Cecil Abraham; Datuk Sunil Abraha;  Noor Muzalifah Shabudin; Mohd Irwan Ismail; Yap Jing Wen; Datuk Mohd Yazid Mustafa; Datuk Mohd Najid Husain dan Nornajihah Ahmad Nadjemudin.

Sementara itu, pekebun terbabit pula diwakili peguam Siew Choon Jern, Chen Chiu Hua, Lim Pit Feng dan Brendan Siva.

Ujar Siew, pihaknya akan meneliti keputusan itu sebelum menasihati anak guam mereka untuk membuat rayuan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.