“Terima Kasih Melahirkan Kami” – Ramai Tersentuh Lelaki Tabah Baca Talkin Untuk Arwah Ibu [Video]
Menurut Hery, ibu kepada imam Zaki meninggal dunia pada Jumaat (19 April) lalu selepas mengalami serangan jantung.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kematian merupakan suatu perkara yang pasti untuk setiap kehidupan di dunia ini.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita sentiasa dinasihatkan untuk bersedia menghadapinya dan sudah menjadi fardu kifayah buat semua untuk menguruskan jenazah jika ada kematian.
Antara perkara yang perlu dilakukan untuk menguruskan jenazah adalah seperti memandikan, mengkafan, solat, menanam dan disunatkan untuk membaca talkin.
Tular video anak baca talkin untuk arwah ibu
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki yang sedang membaca talkin sewaktu jenazah ibunya yang sudah dikebumikan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Hery di TikTok, lelaki yang merupakan rakannya itu berterima kasih kepada arwah ibu kerana telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Dalam video awalnya kelihatan lelaki yang dikenali sebagai Zaki Zakaria berdiri di tepi khemah membaca talkin sambil didengari oleh orang ramai.
“Ketahuilah ibu bahawa mati itu adalah benar. Ketahuilah ibu bahawasanya ibu akan dibangunkan dan dibangkitkan semula untuk dihimpunkan di Padang Mahsyar adalah benar.
“Ketahuilah wahai ibu bahawasanya ibu akan bersoal jawab dengan para malaikat di alam kubur adalah benar. Ketahuilah ibu bahawasanya kelak pada suatu hari nanti ibu akan diberi minum di kolam air Nabi SAW adalah benar.
“Wahai ibu Zuraidah binti Ibrahim diakhirnya kami di sini ingin mengucapkan selamat tinggal dan selamat berpisah ke atas ibu yang berdagang seorang diri di alam kubur ini,” ucap Zaki yang juga imam di Masjid Jamek Batu 14 Puchong, Selangor.
Seka air mata kerana tak dapat tahan sebak
Sekali sekala turut dapat dilihat Ustaz Zaki menyeka air mata yang mengalir kerana sedih atas pemergian ibu tercinta.
Zaki dan ahli keluarganya turut berharap agar Allah SWT menerima segala amal kebaikan yang dilakukan oleh ibunya di dunia ini serta meringankan azab kubur buat ibunya.
Dalam video sama, Zaki mengucapkan terima kasih kepada arwah ibunya kerana telah melahirkan, mendidik dia dan adik-beradiknya serta menjadi seorang ibu yang luar biasa.
Hery ketika dihubungi berkata arwah ibu kepada Zaki meninggal dunia pada 19 April disebabkan terkena serangan jantung.
Ramai tersentuh lihat ketabahan Zaki
Mengintai di ruangan komen, ramai yang tersentuh mendengar talkin yang dibaca oleh Zaki selain turut menyifatkan dia seorang yang tabah.
Malah ada yang turut mengalirkan air mata kerana terkesan dengan video tersebut.
Untuk makluman, terdapat tiga perkara yang tidak akan putus apabila seorang sudah meninggal dunia iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat serta doa anak yang soleh.
Semoga kita semua menjadi anak yang soleh dan solehah mendoakan ibu bapa tercinta.