fbpx
Now Reading
Menari Lagu ‘Alamak Raya’ Jadi Trend, Mufti Terengganu Dedah Boleh Jatuh Hukum Haram

Menari Lagu ‘Alamak Raya’ Jadi Trend, Mufti Terengganu Dedah Boleh Jatuh Hukum Haram

Menurut Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun tindakan seperti menari sehingga mendedahkan aurat perlu dielakkan kerana ia boleh membawa kepada hukum haram.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap kali tibanya Hari Raya, lagu merupakan antara elemen yang penting untuk memberikan mood dalam menyambut lebaran ini.

Apa yang lebih menarik, lagu-lagu raya yang dihasilkan oleh anak seni tanah air sejak dahulu sehingga kini sering menjadi pilihan masyarakat, selain turut memberikan mesej betapa cerianya hari lebaran.

Namun sejak wujudnya media sosial, ramai yang telah menunjukkan kreativiti mereka menerusi video apabila menyanyi dan menari dengan lagu raya seperti lagu ‘Alamak Raya Lagi’ yang menjadi trend ketika ini.

Malah trend lagu itu menjadi fenomena di negara ini, apabila ramai yang membuat video tarian lagu tersebut bersama ahli keluarga semasa menyambut perayaan baru-baru ini.

Boleh jadi haram jika dedahkan aurat

Terbaharu Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun menjelaskan trend yang menjadi ikutan khususnya kepada wanita beragama Islam berkenaan boleh membawa kepada hukum haram jika ia mendedahkan aurat mereka yang melakukannya.

Kata beliau, trend tersebut yang dibuat demi kandungan di media sosial hendaklah dielakkan. Ini kerana, ia dilihat boleh menjatuhkan maruah serta menunjukkan aurat seseorang perempuan.

Aksi negatif mencemarkan perayaan yang disambut umat Islam

Ujarnya, tindakan itu turut menunjukkan reputasi negatif kepada individu melakukannya selain mencemarkan perayaan yang disambut oleh semua umat Islam.

“Sepatutnya perbuatan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada haram.

“Sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

Beliau dalam masa sama, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir masyarakat yang beragama Islam apabila mudah mengikuti trend terkini sampai melupakan batas agama.

“Kita kesal dengan masyarakat kita yang suka membuat trending apabila ada sesuatu yang dilihat baharu tanpa berfikir sama ada ia positif atau negatif.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu.

“Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, ia dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita.”

Perkara sama turut dibangkitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Facebook.

Terdahulu, aksi beberapa pengguna yang menari secara terbuka dengan menggunakan lagu tersebut sebagai latar belakang juga ada ditegur oleh beberapa pendakwah bebas yang meminta supaya perkara itu dihentikan.

Tegas mereka, ini kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Isu berkenaan kemudian terus panas selepas selebriti, Fasha Sandha membidas kenyataan berkenaan kerana membezakan tahap kedudukan seorang wanita.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.