fbpx
Now Reading
Ini Tips Buat Open House Raya Untuk Yang ‘Malas’. Tak Renyah Sangat! [Video]

Ini Tips Buat Open House Raya Untuk Yang ‘Malas’. Tak Renyah Sangat! [Video]

Antara perkara yang biasa dipraktikkan ketika mengadakan jamuan adalah menggunakan bekas pakai buang dan menyediakan hidangan yang ‘simple’ tapi sedap.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bulan Syawal masih berbaki dua minggu lagi. Ini bermakna masih tak terlambat jika anda mahu mengadakan jamuan raya.

Mengadakan rumah terbuka atau jamuan di rumah sememangnya merupakan sesuatu yang memenatkan. Apatah lagi jika anda melakukan segala persiapan sendiri, termasuk memasak.

Jom baca hantaran ini untuk ketahui cara-cara yang boleh memudahkan persiapan open house anda.

6 Tips Apabila Buat Open House

Seorang pengguna TikTok, Faisal Anawai, telah berkongsi perkara yang dilakukannya bagi memudahkan urusan rumah terbukanya.

Katanya, tips yang dikongsikan olehnya berguna bagi mereka yang kurang rajin. Sebenarnya bukanlah kerana tidak rajin, tetapi apabila hanya seorang individu yang perlu mengemas rumah, memasak, serta berinteraksi bersama tetamu, ia boleh menjadi amat memenatkan.

Bagi Faisal, perkara yang paling membebankan adalah mengemas rumah seusai jamuan.

#1 Guna bekas pakai buang

Umum sudah biasa mempraktikkan penggunaan pinggan dan cawan pakai buang apabila mengadakan jamuan. Namun, mungkin ada juga yang tidak terfikir untuk mengguna bekas pakai buang bagi menghidangkan makanan.

Dia mencadangkan penggunaan bekas aluminium untuk meletakkan hidangan. Bukan sahaja mudah kerana tidak perlu dicuci, tetapi makanan juga tidak akan cepat sejuk.

Faisal berkata boleh juga menghias di sekeliling bekas aluminium tersebut menggunakan kain agar kelihatan lebih menarik.

Makanan yang dimasak di dalam bekas aluminium boleh terus dihidang begitu sahaja. (Foto: Pexels)

#2 Guna bekas kuih sedia ada

Kebiasaannya kuih raya akan dipindahkan daripada bekasnya ke dalam balang kaca agar kelihatan lebih cantik dengan bekas yang serupa.

Namun begitu, perkara ini sebenarnya meremehkan kerana anda perlu ‘top-up’ semula kuih di dalam balang apabila telah habis. Balang tersebut juga perlu dicuci setelah selesai digunakan.

Faisal mencadangkan agar kuih raya dihidang sahaja di dalam bekasnya yang asal. Baginya, walaupun terdapat berlainan bekas yang dihidangkan, namun ia tetap kelihatan cantik dan estetik.

Boleh juga siap-siap beli kuih raya di dalam bekas yang cantik (Foto: GoodiesHop/ Facebook)

#3 Sediakan tisu basah

Tisu basah amat memudahkan untuk mengelap sebarang kotoran atau tumpahan dan boleh terus dibuang setelah digunakan. Sebaliknya, jika menggunakan kain atau mop, kita perlu menyediakan air dan sabun terutamanya bagi mencuci kotoran yang degil.

Faisal juga merasakan bahawa membersihkan lantai menggunakan tisu basah adalah lebih bagus berbanding mengemop. Ini kerana apabila dia menggosok lantai yang kelihatan bersih, tisu basah yang digunakannya tetap menjadi hitam.

Tisu basah bukan hanya boleh digunakan bagi membersihkan lantai, tetapi juga untuk mengelap meja, kerusi dan sebagainya. Malah ia juga boleh menghilangkan habuk pada barang-barang di rumah seperti televisyen dan perhiasan.

Foto: Unsplash

#4 Guna air mineral untuk buat air minuman

Faisal berkata dia membeli air mineral untuk membuat minuman kordial. Perkara ini menjimatkan masa kerana air boleh terus dituang ke dalam balang, berbanding perlu dimasak atau ditadah terlebih dahulu.

Nak lebih senang, beli sahaja air botol atau air kotak berperisa untuk dihidangkan. Sediakan ais juga agar tetamu boleh menyediakan sendiri air yang mereka inginkan.

Namun bagi air panas, sudah tentu air perlu dijerang terlebih dahulu atau lebih mudah jika anda ada mesin penapis air.

Penggunaan bekas air seperti ini lebih mudah untuk dihidangkan. (Foto: Unsplash)

#5 Pilih tetamu dan pastikan mereka RSVP

Bagi anda dengan bajet terhad dan kediaman kecil, pasti kurang mampu untuk menjemput terlalu ramai orang dalam satu-satu masa ke rumah.

Oleh itu, lakukan pemilihan tetamu dengan sebaik mungkin dan pastikan mereka dapat RSVP atau memberi pengesahan kehadiran sekurang-kurangnya sehari sebelum hari kejadian. Kalau dah buat segala persiapan tetapi tetamu tak datang, sedih juga kan?

RSVP oleh tetamu juga penting untuk anda menyediakan jumlah makanan yang mencukupi serta mengelakkan pembaziran.

Foto: Kementerian Luar Negeri

#6 Masak hidangan yang memudahkan

Yang terakhir dan mungkin antara yang paling penting, sediakan hidangan yang mudah untuk dimasak.

Tidak perlu memaksa diri menghasilkan hidangan yang renyah jika tidak cukup tangan untuk membantu anda. Sebaliknya, masak hidangan yang ‘simple’ tetapi sedap, seperti nasi lemak, mi goreng dan bihun sup.

Menurut Faisal, dia telah menyediakan hidangan nasi lemak dengan empat jenis sambal berbeza. Sambal tersebut disediakan menggunakan bes yang sama, hanya bahan protein yang diubah iaitu kerang, ikan tongkol, udang dan bilis.

Tak sempat nak masak? Order sahaja makanan dari peniaga atau katering. Senang pun senang!

Foto: rajaamirfarhan/ Blogspot
@faisal.anawai

Tip ni untuk yang tak berapa rajin macam abg. Abg la masak, abg la nak mengemas, abg la itu ini, so no thank you. Kalau kau rajin. Sila skip this video ok. #OpenHouse2024 #Tips

♬ original sound – faisal.anawai – faisal.anawai
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.