fbpx
Now Reading
Akaun YouTube Monsta Channel Yang Digodam Berjaya Diperoleh Semula Kurang 48 Jam

Akaun YouTube Monsta Channel Yang Digodam Berjaya Diperoleh Semula Kurang 48 Jam

Monsta juga mengambil iktibar daripada insiden ini dan ersetuju untuk menambah lebih banyak stesen siaran televisyen (TV) rasmi di Asia Tenggara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 15 April lalu Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta), Nizam Abdul Razak menerusi Facebook miliknya telah memaklumkan akaun YouTube animasi Monsta Channel telah digodam.

Malah akaun yang memiliki pengikut lebih 13.5 juta itu turut ditukar namanya kepada MicroStrategy US. Susulan itu, pihak animasi berkenaan sedang berusaha keras untuk mendapatkan semula akaun berkenaan serta kandungan yang telah terjejas kerana digodam.

Baca artikel berkaitan: Akaun YouTube Monsta Channel Dengan Lebih 13 Juta Subscribers Digodam, Siap Tukar Nama MicroStrategy US

YouTube Monsta Channel berjaya dibaik pulih kurang daripada 48 jam

Terbaharu, Nizam memaklumkan saluran YouTube animasi yang digodam pada baru-baru ini itu telah berjaya dibaik pulih dalam tempoh kurang daripada 48 jam.

Menerusi kenyataan dimuat naik Nizam, meskipun terdapat beberapa video yang hilang tetapi syarikat animasi itu bersyukur kerana saluran itu dapat dipulihkan.

“MONSTA ingin mengucapkan terima kasih kepada YouTube dan Google atas bantuan yang diberi. Kerjasama unit Network MONSTA bersama mereka berjaya membaik pulih akses ke akaun MONSTA Channel kami.

“Walaupun masih ada video yang hilang, kami sangat bersyukur insiden kali ini mampu diuruskan kurang 48 jam.

“Terima kasih kepada peminat dan pihak lain yang banyak membantu kami secara tidak langsung,” tulis Monsta dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Monsta sedang usaha naik taraf sistem keselamatan di semua akaun rasmi

Sementara itu, Montsa dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya kini sedang berusaha untuk menaik taraf sistem keselamatan serta memperketatkan akses untuk semua akaun rasmi syarikat tersebut.

Bukan hanya itu, mereka juga menjadikan insiden ini sebagai iktibar.

“Kami mengambil iktibar daripada perkara ini dan bersetuju untuk menambah lebih banyak stesen siaran televisyen (TV) rasmi di Asia Tenggara.

“Mungkin stesen TV tempatan atau platform penstriman rasmi seperti Netflix dan lain-lain dapat memberi lebih kestabilan penayangan dan kepercayaan kepada penonton setia MONSTA.”

Menerusi tinjauan kami di saluran YouTube animasi itu, nama serta logo akaun juga telah ditukar kepada Monsta dan memiliki sebanyak satu ribu video.

Untuk makluman, saluran YouTube MONSTA Channel ini banyak memaparkan siri animasi-animasi terkenal seperti BoBoiBoy, Papa Pipi dan juga Mechamato.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.