Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan aplikasi cloud milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah digodam pada Sabtu (16 Mac) yang lepas.
Hannah bagaimanapun berkata, impaknya hanya minima dan tiada kebocoran data peribadi ekoran dari insiden tersebut.
Pihaknya juga sudah melaporkan apa yang berlaku kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) dan CyberSecurity Malaysia.
“Cloud Kementerian Belia dan Sukan telah digodam pada petang Sabtu. Kami kemudian melaporkannya kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia.
“Kami telah mengambil tindakan pantas. Pada masa ini, keadaan terkawal, dan kami telah melaksanakan beberapa intervensi teknikal,” kata Hannah dipetik NST.
Namun laporan berkenaan tidak menjelaskan secara terperinci jenis intervensi yang dilakukan pasukan teknikal.
Hanya libatkan fail pentadbiran sahaja – Hannah
Tambah Hannah lagi, fail yang digodam hanyalah berkaitan pentadbiran sahaja dan tidak melibatkan pihak lain atau maklumat peribadi.
“Fail yang digodam hanya beberapa fail pentadbiran sahaja…tidak melibatkan parti-parti lain ataupun informasi peribadi. Semuanya dalam kawalan.”
Terdahulu, kumpulan penggodam dengan nama R00TK1T mendakwa pihaknya telah berjaya menggodam data milik KBS.
Perkara itu dikongsikan R00TK1T menerusi satu pengumuman di Telegram mereka.
Bagi menguatkan dakwaan mereka, kumpulan penggodam itu turut berkongsi tangkap layar dari akaun cloud yang menurut mereka adalah milik KBS.