fbpx
Now Reading
Isu APBN Dibawa Ke Parlimen, Ini Jawapan Adam Adli [Video]

Isu APBN Dibawa Ke Parlimen, Ini Jawapan Adam Adli [Video]

Menurut Adam Adli, terdapat dua kategori yang telah diputuskan tiada pemenang oleh jawatankuasa pengesahan pemenang iaitu Ikon Belia Influencer dan juga Ikon Belia Sangungan Budi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila influencer terkenal, Zhiddin Aziz yang juga calon bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) meluahkan rasa kecewanya selepas mendakwa kemenangan dibatalkan pada saat akhir.

Menerusi video yang dikongsikan oleh influencer terbabit, dia yang tercalon dalam kategori Ikon Belia Influencer itu mahukan penjelasan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan berhubung pembatalan kategori tersebut.

Malah dalam satu lagi video yang dimuat naik oleh anak kepada pesona TV terkenal, arwah Aziz Desa turut menunjukkan tempat duduknya yang diletakkan bersama penerima anugerah yang lain.

Perkara ini kemudian telah menjadi perhatian ramai pihak sehingga ia turut dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semalam (14 November).

Manakala pada hari ini (15 November) Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut meminta penjelasan kepada Timbalan Menteri KBS, Adam Adli berkenaan isu itu.

Adam Adli terkejut isu APBN dibawa ke Parlimen dan dijadikan usul

Adam Adli bagaimanapun mengakui agak terkejut apabila isu berhubung APBN itu turut dibawa ke parlimen pada hari ini (15 November).

Malah ia turut dijadikan sebagai satu usul.

Jelas Adam, perkara itu bukanlah kepentingan awam dan ia telah dikendalikan pihaknya dengan baik.

“Malah untuk pengetahuan, hari ini (15 November) di sini di bangunan Parlimen ini, kalau saya nak jemput Masjid Tanah (Ahli Parlimen) pun boleh. Yang dimaksudkan itu (Zhiddin) pun akan datang ke sini (adakan) pertemuan dengan saya. Jadi, tidak ada masalah.

“Kalau mana-mana (Ahli Parlimen), Arau (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) sekalipun yang telah membangkitkan perkara ini semalam (14 November) sebagai usul bawah 18, itu pun nak datang jumpa, boleh jumpa.

“Nak selfie, nak buat video pun boleh tidak ada masalah,” ujarnya, dalam video yang dikongsikan oleh Astro Awani.

Jawatankuasa pengesahan pemenang dah putuskan tiada pemenang untuk dua kategori

Katanya bagi menjawab persoalan tersebut, pertamanya jawatankuasa bagi pengesahan pemenang ini telah memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer serta Ikon Belia Sanjungan Budi.

“Bukan hanya satu kategori, dua kategori yang tiada pemenang dan ini adalah keputusan muktamad. Tiada calon yang memenuhi kriteria yang telah pun ditetapkan.

“Kita juga tidak pernah mengeluarkan seperti Yang Berhormat sebutkan tadi. Tak pernah keluarkan sebarang surat pemakluman kepada mana-mana individu tentu sebagai pemenang.

“Jadi kita pun tertanya-tanya, bagaimana dia (Zhiddin) boleh menganggap diri sebagai pemenang dan sebagainya,” katanya lagi ketika bersidang di Dewan Rakyat.

Buka ruang untuk isu diselesaikan dengan baik menerusi pertemuan bersifat matang

Oleh itu, pihaknya membuka ruang agar penjelasan lebih lanjut diadakan, pertemuan juga boleh diadakan agar ia dapat diselesaikan secara baik.

“Tidak guna ia dijadikan sebagai sesuatu yang sensasi, kalau ada kelemahan, kalau ada mana-mana kesilapan. Itu semua boleh kita uruskan dan boleh kita rungkai menerusi pertemuan yang lebih bersifat matang.”

KBS dah keluarkan kenyataan menjawab persoalan berhubung isu terbabit

Tambah Adam lagi, pihak KBS juga telah mengeluarkan kenyataan media untuk menjawab berhubung penularan isu tersebut.

“Saya harap kepada mana-mana pihak yang menganggap bahawa ini sebagai satu bentuk penganiyaan dan sebagainya itu bukan perkara yang menjadi tujuan atau matlamat APBN pada kali ini.

“Ia bertujuan untuk mengiktiraf golongan-golongan belia yang telah pun mencapai satu kejayaan sangat besar.

“Malangnya bagi kita, dalam Anugerah Perdana Belia Negara kali ini ada lebih 12 penerima anugerah, termasuk mereka yang telah memenangi pingat emas dalam Sukan Asia. (namun mereka) tidak diberi perhatian pun.

“Yang ini yang kita rasakan kerana terbawa-bawa oleh sensasi yang sedang berlaku terhadap hanya satu, dua individu. Perkara ini kita harus sebagai masyarakat sedikit sebanyak untuk memandangnya.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.