fbpx
Now Reading
Pegawai Polis Berpangkat DSP Dipenjara 10 Tahun & Denda RM46 Juta Kes Ubah Wang Haram

Pegawai Polis Berpangkat DSP Dipenjara 10 Tahun & Denda RM46 Juta Kes Ubah Wang Haram

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan hari ini (22 Mac) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas didapati bersalah atas lapan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta.

Panel tiga hakim yang bersidang iaitu Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan DSP Mohd Ismail Syed Merah untuk mengugurkan pensabitan kesalahan dan hukuman penjara yang telah dikenakan ke atasnya.

Mereka sebaliknya bersetuju membenarkan rayuan pasukan pendakwaan yang mahukan hukuman penjara yang sebelum ini telah dijatuhkan terhadap Mohd Ismail ditambah.

Difahamkan dia pada 2020 telah dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor.

Menerusi laporan Bernama, Mahkamah Rayuan turut membenarkan rayuan pasukan pendakwaan untuk mengenakan denda berjumlah RM42 juta ke atas Mohd Ismail.

Kegagalan membayar jumlah tersebut akan menyebabkan dia dipenjara 48 bulan.

Foto : Malaymail

Hakim Nordin sewaktu membacakan keputusan berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar adalah betul dalam mendapati bahawa wang yang dirampas daripada rumah Mohd Ismail, diperoleh daripada aktiviti haram

Justeru hukuman tambahan yang dikenakan adalah bagi mencerminkan betapa seriusnya kesalahan yang dilakukan itu.

Jelas beliau, dia sebagai seorang pegawai polis yang menerima amanat untuk menegakkan undang-undang telah mengkhianati amanah itu bahkan melindungi operator judi haram.

Malah Hakim Nordin berkata adalah munasabah menyimpulkan bahawa wang RM1.2 juta dan IDR 8,178,000 (rupiah) di rumah Mohd Ismail adalah wang dari operator aktiviti perniagaan judi haram untuk dia tidak mengambil sebarang tindakan ke atas operasi haram tersebut.

“Gajinya sebagai seorang pegawai polis hanyalah RM6,000 sebulan dan dibayar ke dalam akaunnya dan bagaimana dia boleh menyimpan sejumlah wang yang banyak itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Mohd Ismail didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, masing-masing melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000, dengan pembelian pelan dan pelaburan perlindungan insurans yang didaftarkan atas nama tertuduh dan nama anaknya yang diuruskan ejen insurans MAA Takaful Bhd.

Bagi dua pertuduhan lain pula ialah pengubahan wang haram sebanyak RM499,620 dan RM29,950 menggunakan dua lagi akaun pihak ketiga milik Tan Kim Tee iaitu akaun RHB Bank Bhd dan CIMB Bank Berhad.

Pada 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah melepas dan membebaskan Ismail daripada semua pertuduhan berkenaan.

Namun Mahkamah Tinggi pada 2020 telah mendapati dia bersalah atas semua kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun untuk setiap kesalahan dan dikenakan secara serentak.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.