fbpx
Now Reading
Pesta Loy Krathong Di Bachok Langgar Beberapa Syarat Permit Penganjuran Yang Ditetapkan

Pesta Loy Krathong Di Bachok Langgar Beberapa Syarat Permit Penganjuran Yang Ditetapkan

Antara peraturan yang tidak dipatuhi adalah pihak penganjur membenarkan pengunjung Melayu beragama Islam memasuki lokasi pesta sewaktu ia berlangsung.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah konsert menampilkan sekumpulan penyanyi wanita iaitu Thungpang dari Thailand yang sedang membuat persembahan di Kampung Balai Jajahan Bachok, Kelantan pada 25 November (Jumaat) lalu.

Difahamkan kumpulan itu telah mengadakan persembahan bersempena dengan perayaan yang disambut oleh masyarakat peranakan Kelantan-Siam.

Menerusi video tular, kelihatan penyanyi yang berada di atas pentas itu berpakaian mencolok mata sewaktu sedang membuat persembahan.

Perkara itu kemudian telah menarik perhatian ramai termasuklah wanita parti Keadilan (PKR) Kelantan yang meminta agar konsert berkenaan disiasat.

Ketua wanita PKR Kelantan, Nor Azmiza Mamat turut mendakwa konsert itu berlangsung dalam keadaan melanggar Enakmen Kawalan Hiburan bagi negeri terbabit.

Nor Azmiza juga menyoal adakah konsert yang diadakan di kuil Bachok itu terkecuali dari enakmen berkenaan? lapor Harian Metro.

Pesta Loy Krathong tidak ikut ketetapan yang diberikan

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri iaitu Hilmi Abdullah telah tampil memaklumkan bahawa konsert itu memiliki permit yang sah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Walau bagaimanapun katanya terdapat pelanggaran peraturan atau syarat sewaktu ia dianjurkan pada Jumaat lalu.

Benarkan pengunjung Melayu beragama Islam masuk dan artis tak pakai mengikut etika diberikan

Antara peraturan yang tidak dipatuhi oleh pihak penganjur adalah membenarkan pengunjung Melayu beragama Islam untuk memasuki lokasi pesta yang diadakan serta memaparkan artis yang tidak memakai pakaian mengikut etika yang ditetapkan.

“Pihak penganjur memaklumkan, semua poster promosi dikeluarkan dalam bahasa Thailand. Mereka telah menyediakan papan tanda memaklumkan pesta berkenaan tidak dibuka kepada penduduk Islam Bachok yang turut diletakkan di pintu masuk.

“Situasi semasa hari pesta itu dikatakan di luar kawalan berikutan hanya seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas sehingga membenarkan pengunjung beragama Islam masuk selain artis gagal mengikut etika kod pemakaian,” jelasnya dipetik Kosmo.

Tak teragak-agak untuk denda maksimum RM10,000

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu lagi, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan denda tidak melebihi RM10,000 kepada pihak penganjur selain turut akan meneliti kesalahan serta pelanggaran syarat yang telah dilakukan.

Ujar Hilmi, pesta itu adalah acara yang dilakukan pada setiap tahun dan dianjurkan oleh Watt Pathumviharn selain turut menyatakan ini adalah kali pertama penganjur tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Ia merupakan upacara keagamaan atau kebudayaan masyarakat siam dan permit telah dimohon oleh penganjur pada 25 Jun sebelum diluluskan pada 20 September lalu.

“Kelulusan permit diberikan kerana penganjuran program adalah di tempat tertutup oleh institusi agama Buddha dan dikhaskan untuk penganut agama itu sahaja.”

Tambahnya berikutan penularan video tersebut siasatan serta proses pendengaran juga telah dilakukan oleh Ketua Jajahan Bachok, Shamsul Abu Bakar.

Ujarnya, semasa siasatan dan proses pendengaran mengenai pesta serta konsert itu dilakukan, ia turut dihadiri oleh Majlis Daerah Bachok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Agama Jajahan Bachok, Penggawa Daerah Bachok dan wakil penganjur iaitu Jawatankuasa Watt Pathumviharn serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Kelantan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.