fbpx
Now Reading
Dewakan Jadi Restoran Pertama Di Malaysia Terima 2 Bintang Michelin

Dewakan Jadi Restoran Pertama Di Malaysia Terima 2 Bintang Michelin

Selain itu, sebuah restoran telah dinaik taraf kepada satu MICHELIN Star, menjadikan 5 restoran kesemuanya yang menerima anugerah bintang itu, termasuk Dewakan yang kini memegang status sebagai sebuah lagi restoran yang dinaik pangkat kepada dua MICHELIN Star baru-baru ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Restoran Dewakan yang sebelum ini memegang status sebagai kedai makanan yang mempunyai satu bintang Michelin kini semakin maju ke hadapan apabila dinaik taraf menjadi restoran dua bintang Michelin.

Ia sekaligus menjadikan Dewakan satu-satunya restoran di Malaysia yang pernah menerima anugerah bintang Michelin setinggi itu.

Perkara itu diumumkan sewaktu acara MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2024 yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Michelin dalam satu kenyataan, Dewakan bermaksud “makanan dari dewa”, dan cefnya mencipta pengalaman santapan yang luar biasa bercirikan keunikan Malaysia sepenuhnya.

Setiap ramuan yang digunakan berasal dari sumber tempatan yang lestari; malah pinggan mangkuknya juga adalah buatan tangan artis tempatan. Menu set yang enak menampilkan pelbagai hidangan yang dijeruk atau dikeringkan sendiri, bersama dengan buah-buahan dan herba bermusim.

Dalam acara sama, terdapat 127 restoran yang terpilih, termasuk yang diberi pengiktirafan MICHELIN Star, Bib Gourmand, dan MICHELIN Selected.

Pilihan restoran tahun ini memperlihatkan kepelbagaian seni kulinari serba mewah yang terdapat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Restoran-restoran ini menawarkan lebih daripada 30 jenis hidangan berbeza, termasuk makanan jalanan. 

Menurut Pengarah Antarabangsa MICHELIN Guide, Gwendal Poullennec, pengumuman edisi kedua MICHELIN Guide Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini mencerminkan kehebatan pengembaraan gastronomi yang menantikan sesiapa sahaja yang berkunjung ke kedua-dua neger ini.

Dari hidangan warisan tradisional hingga interpretasi kontemporari, landskap kulinarinya terus berevolusi, mencerminkan kepelbagaian seni kulinari sebenar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Ia sememangnya amat menggembirakan apabila mengetahui bahawa terdapat ramai bakat-bakat muda yang menceburi industri kulinari, dengan menumpukan masa dan tenaga mereka untuk menyajikan pelbagai masakan hebat yang menampilkan keindahan dan keunikan ramuan dan hidangan Malaysia.”

Pengarah Antarabangsa MICHELIN Guide, Gwendal Poullennec.

1 Restoran Dinaik Taraf kepada Satu Bintang MICHELIN

Beta, yang disenaraikan sebagai restoran MICHELIN Selected pada tahun 2023, telah diangkat menjadi salah sebuah restoran satu MICHELIN Star dalam MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2024.

Restoran ini menawarkan cara baru dan menarik untuk merasai kekayaan warisan kulinari Malaysia, dengan penuh ketelitian kepada penggemar makanan yang arif. Chef restoran ini mencipta semula makanan kegemaran dari seluruh negara, menggabungkan teknik penyajian yang moden dan elegan.

Sebelum menikmati hidangan utama di ruang makan yang bersambung dengan dapur terbuka, pengunjung boleh singgah di ruang istirahat untuk menikmati minuman koktel dan hidangan pembuka selera.

Dengan penambahan restoran yang baru dinaik taraf ini, MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2024 kini mempunyai:

  • 1 restoran dua bintang MICHELIN: Dewakan, di Kuala Lumpur
  • 4 restoran satu MICHELIN Star: Au Jardin dan Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery (Pulau Pinang) dan Beta dan DC. by Darren Chin (Kuala Lumpur).

25 Restoran Sertai Senarai MICHELIN Selected

Selain daripada restoran MICHELIN Star dan Bib Gourmand, MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2024 turut mengumumkan 25 restoran baharu ke dalam senarai MICHELIN Guide Selected 2024 yang menampilkan kepelbagaian landskap kulinari di rantau ini.

Pengumuman ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan restoran MICHELIN Selected di Malaysia kepada 77. 

Daripada 25 restoran MICHELIN Guide Selected baharu itu, 16 terletak di Kuala Lumpur dan 9 berada di Pulau Pinang.

Senarai 16 restoran baharu di Kuala Lumpur adalah Bōl, Café Café, Entier, Frangipaani, Jwala, Ling Long, Malai, Marini’s on 57, Nadodi (relokasi), Seed, Shanghai Restaurant, Sushi Masa, Tanglin (Bukit Damansara), Tenmasa, Teochew Lao Er, dan Wagyu Kappo Yoshida.

Manakala restoran baharu di Pulau Pinang pula terdiri daripada 888 Hokkien Mee (Lebuh Presgrave), Air Itam Duck Rice, Ceki, Fook Cheow Cafe, Jit Seng Hong Kong Roasted Duck Rice, Penang Famous Samosa, Richard Rivalee, Sambal, dan The Pinn (relokasi).

4 Anugerah MICHELIN Guide

Selain daripada mengesyorkan restoran berkualiti, MICHELIN Guide turut menyasarkan untuk mengetengahkan individu-individu berbakat yang menyumbang kepada penambahbaikan pengalaman santapan gastronomi. Dengan berbuat demikian, ia turut mengiktiraf kepelbagaian bidang tugas dan kemahiran yang terlibat dalam industri restoran.

Anugerah Perkhidmatan MICHELIN Guide

Anugerah Perkhidmatan MICHELIN Guide, yang disampaikan oleh FunNow, dianugerahkan kepada Wan Mohd Zulkifeli, sebagai pengiktirafan kepada ilmu pengetahuan, ketelitian, dan tatasusila tatkala beliau memimpin pasukannya di Gai by Darren Chin, Kuala Lumpur.

Mohd Zulkifeli ikhlas berkongsi kemahiran profesional beliau dengan kakitangannya, menyumbang kepada pembentukan pasukan perkhidmatan yang mantap, mewujudkan suasana santapan yang harmoni.

Anugerah Perkhidmatan MICHELIN Guide 2024 bertujuan untuk menonjolkan dan menggalakkan profesional berkemahiran dan berbakat, yang mampu meningkatkan lagi pengalaman pelanggan.

Anugerah Sommelier MICHELIN Guide

Anugerah Sommelier MICHELIN Guide 2024 mengiktiraf kemahiran, ilmu pengetahuan, dan semangat sommelier berbakat dalam industri. Anugerah Sommelier tahun ini diberikan kepada Yap Cze Ying, yang berkhidmat sebagai sommelier dan pengurus restoran di Hide, Kuala Lumpur.

Walaupun Yap adalah seorang yang agak pendiam, namun beliau memiliki sifat sopan dan mesra dengan pelanggan. Beliau turut mempamerkan semangat yang tulen dalam bidang pengurusan wain dan hospitaliti.

Anugerah Chef Muda MICHELIN Guide

Anugerah Chef Muda MICHELIN Guide mengiktiraf chef muda yang bekerja di restoran terpilih, di mana bakat luar biasa dan potensi besarnya berjaya menarik perhatian inspektor MICHELIN Guide. Tahun ini, Anugerah Chef Muda diberikan kepada Johnson Wong Jia Liang dari Gēn, Pulau Pinang.

Sebagai graduan Le Cordon Bleu Sydney, Wong yang juga merupakan pemilik Gēn dilahirkan pada tahun 1991 dan telah mengasah kemahiran kulinarinya di beberapa dapur restoran terbaik. Beliau sentiasa komited kepada ramuan tempatan dan berhasrat untuk menyajikannya dengan rasa asli yang seiring dengan kenangan masa kecilnya di Malaysia. 

Anugerah Pembukaan Terbaik MICHELIN Guide

Anugerah Pembukaan Terbaik MICHELIN Guide 2024 diberikan kepada chef, hos, atau pengurus restoran, atas kejayaan membuka restoran dalam tempoh 12 bulan yang lalu, dengan konsep penyajian contoh makanan dan pendekatan hidangan kreatif yang memberikan impak dalam arena gastronomi tempatan. 

Anugerah ini, yang disampaikan oleh UOB, adalah Anugerah Pembukaan Terbaik yang pertama seumpamanya di Malaysia. Pengiktirafan itu diberikan kepada Ramesh Thangaraj dari Jwala, Kuala Lumpur, yang dibuka pada tahun 2023 dan dilengkapi dengan tandoor atau ketuhar tanah liat yang dibina khusus. Jwala yang bermaksud “api” dalam bahasa Sanskrit, menyajikan hidangan istimewa India Utara yang dipanggang menggunakan arang. 

Senarai restoran terpilih ini disertakan dengan senarai hotel pilihan MICHELIN Guide, yang menampilkan tempat penginapan paling unik dan menarik di Malaysia dan di seluruh dunia.

Setiap hotel dalam MICHELIN Guide dipilih berdasarkan gaya,  perkhidmatan, dan personalitinya yang luar biasa – dengan pilihan untuk semua jenis bajet.  Anda boleh membuat tempahan secara terus melalui laman sesawang dan aplikasi MICHELIN Guide. 

MICHELIN Guide adalah penanda aras bagi bidang gastronomi. Kini, ia menetapkan standard baharu untuk hotel. Kunjungi laman sesawang rasmi MICHELIN Guide, atau muat turun aplikasi mudah alih MICHELIN Guide (iOS dan Android), untuk mendapatkan senarai penuh restoran pilihan dan menempah hotel yang tidak dapat dilupakan.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.