fbpx
Now Reading
Jaclyn Victor Hadiahkan Wang Kemenangan RM200,000 Untuk Akademik Anak-Anak

Jaclyn Victor Hadiahkan Wang Kemenangan RM200,000 Untuk Akademik Anak-Anak

Jaclyn Victor sebelum ini pernah mengumumkan wang berjumlah RM100,000 yang dimenanginya dalam program Gegar Vaganza Musim Ke-9 akan digunakan sebagai simpanan masa depan khusus buat dua orang anaknya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Fenomena All Stars Gegar Vaganza (GV10) masih lagi hangat terasa hingga kini. Walaupun program hiburan tersebut telah melabuhkan tirai pada Ahad (10 Disember) yang lalu selepas 12 minggu bersiaran, ia masih lagi menjadi bualan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Umum mengetahui Jaclyn Victor telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah RM200,000, pakej percutian ke Switzerland serta trofi emas sumbangan Astro.

Kemenangan Jaclyn pada kali ini merupakan kemenangan kali kedua penyanyi itu dalam program yang sama setelah pernah menjuarai Program Gegar Vaganza Musim Ke-9 pada tahun lalu.

Hadiahkan Wang Kemenangan Untuk Anak-Anak

Sama seperti tahun sebelumnya, penyanyi versatil yang berusia 45 tahun itu menjelaskan bahawa wang kemenangan RM200,000 hasil menjadi juara All Stars Gegar Vaganza akan dihadiahkan buat anak-anaknya.

“Duit kemenangan ini adalah untuk anak saya, untuk masa depan mereka terutama untuk pelajaran.

“Saya mengakui bahawa saya bekerja untuk kedua-dua anak saya, saya mahu berikan yang terbaik buat mereka.

“Biarlah mereka membesar dengan serba lengkap khususnya perkara yang melibatkan pendidikan mereka, saya mahu lihat anak-anak saya berjaya, dan untuk berjaya banyak kos yang perlu disediakan,” katanya.

Jaclyn sebelum ini pernah mengumumkan wang berjumlah RM100,000 yang dimenanginya dalam program Gegar Vaganza Musim Ke-9 akan digunakan sebagai simpanan masa depan khusus buat dua orang anaknya Jonah Joshiah Rivera dan Molly Marguerite Rivera.

Gelaran Juara Jadi Pertikaian, Anggap Sebagai Satu Rezeki

Walaupun telah dipilih sebagai juara, masih ada lagi yang mempertikaikan kemenangan penyanyi wanita itu.

Tidak melatah dengan kata-kata yang dilemparkan oleh sesetengah pihak, Jaclyn memohon agar peminat tidak bertelagah sesama sendiri dan menegaskan bahawa keputusan itu merupakan hasil penilaian juri.

“Apa pun yang berlaku, peminat boleh bawa bertenang, tolong jangan bergaduh disebabkan hal sebegini. Semuanya bergantung kepada juri, bukan saya yang berikan markah.

“Jujur saya cakap, saya tidak tahu kriteria markah dan mungkin ini rezeki saya, saya berserah dan bersyukur dengan apa pun keputusan.

“Biasalah adat pertandingan, mesti ada pemenangnya dan semua peserta malam ini adalah juara.

“Siapa pun yang menang, saya akan tumpang gembira dengan kemenangan mereka,” ujarnya.

Bakal Tampil Dengan Genre Berbeza

Mengakui GV10 menguji kemampuannya melalui penyampaian lagu dengan genre yang berbeza, penyanyi itu menjelaskan kemungkinan dia akan tampil dengan sisi yang berbeza pada masa hadapan.

“Pentas GV10 menjadi medan untuk saya terpaksa buat apa yang tidak biasa, boleh dikatakan banyak genre yang tidak lazim saya bawakan tapi disebabkan itu banyak permintaan daripada pihak korporat untuk saya menyanyi dangdut dan Hindustan contohnya.

“Mungkin selepas ini saya akan hadir dengan konsep atau persembahan yang bukan sekadar balada, jika ada tawaran dan orang yang sudi mengajar saya untuk mahir,” jelasnya.

Untuk info, Jaclyn yang juga pernah menjadi juara Program Realiti Malaysian Idol mendendangkan lagu nyanyian asal Mariah Carey and Whitney Houston bertajuk When You Believe dalam segmen pertama.

Manakala, dalam segmen kedua, Jaclyn berduet bersama dengan Penyanyi Pop Tanah Air Datuk Jamal Abdillah melalui lagu Sandarkan Pada Kenangan dan mempersembahkan lagu Kill This Love dari Blackpink dalam segmen ketiga berentap bersama tiga finalis lain seperti Tomok, Liza Hanim dan Siti Nordiana.

Jaclyn sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi kumpulan Az Yet, Shawn Rivera pada tahun 2014 namun pasangan ini berpisah pada tahun 2020.

Mereka dikurniakan dua orang anak, Jonah dan Molly yang masing-masing berusia 8 tahun dan 6 tahun.

Baca Artikel Berkaitan: Lagu Assalamualaikum Versi ‘Remake’ Gabungkan Artis Tempatan Demi Solidariti Terhadap Palestin

Baca Artikel Berkaitan: “Aku Taja Sebab Bisnes, Bukan Nak Glamour” – Bos Susu Kecewa Segmen Satu Minit Dipendekkan?

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.