fbpx
Now Reading
Konsert ‘Final Tour’ Sum 41 Pukau Ribuan Peminat Di Kuala Lumpur

Konsert ‘Final Tour’ Sum 41 Pukau Ribuan Peminat Di Kuala Lumpur

Kemantapan vokal Deryck Whibley serta iringan muzik padu dari ahli band yang lain seperti Jason McCaslin, Dave Baksh, Tom Thacker dan Frank Zummo menggamatkan suasana keseluruhan konsert.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Konsert Sum 41 di Kuala Lumpur semalam (5 Mac) berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 peminat tempatan dan luar negara.

Mega Star Arena Kuala Lumpur menjadi saksi apabila band pop punk dari Ontario, Kanada itu berjaya memukau para penonton yang hadir di konsert yang merupakan sebahagian daripada jelajah dunia (world tour) terakhir mereka, Tour of the Setting Sum (The Final Tour). 

Kemantapan vokal Deryck Whibley serta iringan muzik padu dari ahli band yang lain seperti Jason McCaslin (bass), Dave Baksh (gitar), Tom Thacker (gitar) dan Frank Zummo (dram) menggamatkan suasana keseluruhan konsert.

Persembahan hebat ini sekali gus membuktikan Sum 41 sememangnya luar biasa dan masih mengekalkan momentum hebat di atas pentas meskipun sudah lebih 28 tahun berada dalam industri muzik.

Pengasas Hitman Solutions Rohit Rampal dan Pengarah Urusan Happymoon, Kesavan Purusotman selaku penganjur berkata, “Memandangkan ini jelajah terakhir mereka, kami (Hitman Solutions & Happymoon) tahu kami terpaksa membawa Sum 41 kembali ke Malaysia untuk peminat yang tidak sabar menanti kepulangan mereka sejak 2012.

“Hasrat kami adalah untuk memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan kumpulan punk kegemaran mereka buat kali terakhir, dan sambutan luar biasa yang kami terima menggambarkan permintaan untuk persembahan sebegitu.”

Penonton ‘enjoy’ gamatkan persembahan bertenaga Sum 41

Reaksi penonton yang terdiri daripada golongan anak muda sehinggalah ‘peminat veteran’ turut memeriahkan konsert anjuran Hitman Solutions dan Happy Moon Live itu.

Antara lagu popular yang dipersembahkan pada malam itu adalah seperti The Hell Song, Pieces, We’re All To Blame, Fat Lip, Makes No Difference dan banyak lagi.

Selain itu mereka turut mendendangkan lagu Landmines, antara karya yang akan terdapat dalam album terbaharu mereka ‘Heaven :x: Hell’.

Persembahan mereka diakhiri dengan In Too Deep diikuti So Long Goodbye, lagu yang pastinya menjadi hadiah farewell buat para peminat mereka.

Sebagai info, Sum 41 pada Mac 2023 mengumumkan secara rasmi yang band tersebut akan dibubarkan selepas 27 tahun bersama-sama dalam industri.

Namun pembubaran tersebut hanya akan berlaku selepas album terakhir mereka “Heaven :x: Hell” dilancarkan dan selepas mereka selesai mengadakan world tour terakhir.

Selain Kuala Lumpur, banyak lagi bandar Asia yang akan dikunjungi seperti Jakarta, Jogjakarta, Singapura, Tokyo, sebelum mereka menjelajah Amerika Syarikat diikuti Eropah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.