fbpx

Siap Buat Aksi Superman, Imam Berjubah Ditahan Sedang Merempit

Tindakan seorang imam merempit selepas selesai tarawih akhirnya memakan diri sendiri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru sahaja selesai memimpin solat tarawih di surau, seorang imam surau dicekup polis kerana merempit bersama rakannya di Lebuh Raya Lembah Klang (NKVE), Shah Alam.

Lebih mencuri tumpuan apabila dia yang berusia 20 tahun dan merupakan seorang bekas pelajar tahfiz melakukan aksi merbahaya tersebut dengan memakai jubah.

Tindakannya itu telah dikesan oleh Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, kira-kira jam 2 pagi pada 10 April.

Memetik laporan Kosmo, Timbalan Pengarah JSPT, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, lelaki berkenaan adalah antara lapan individu yang ditahan polis menerusi Ops Samseng Jalanan.

Menurutnya, menerusi pemantauan mendapati imam muda berkenaan bersama seorang rakannya berusia 22 tahun telah melakukan aksi ‘Superman’ serta bersaing sesama sendiri yang membahayakan nyawa terutama kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kedua-dua penunggang itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membantu siasatan.

“Selain itu, polis menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R untuk tindakan lanjut,” kata Mohd. Nadzri.

Tambahnya, enam lagi individu yang turut ditahan adalah termasuk remaja berusia 14 tahun hingga 22 yang didapati melakukan aksi samseng jalanan di Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalanan 1987.

“Polis akan melaksanakan operasi seumpama itu secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya,” ulasnya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.