fbpx

Ahli Keluarga Pengasas Dnars Skincare Dakwa Jenazah Dibawa Pulang Tidak Ikut Tatacara

Abang sulung mangsa berharap agar siasatan dapat dijalankan dengan segera bagi mengelak masalah yang akan timbul di kemudian hari.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Satu laporan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan prosedur membawa pulang jenazah, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand, yang didakwa tidak mengikut tatacara.

Menurut Harian Metro, laporan dibuat oleh abang mangsa, Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, melalui firma guaman Shaharuddin Hidayu dan Marwaliz di pejabat SPRM Kelantan, semalam (19 Jun).

Ketidakpatuhan prosedur dan timbul keraguan.

Peguambela dan Peguamcara Lt Kol (B) Azhar Ahmad berkata, proses membawa pulang jenazah pada 18 Mei 2019 yang dilakukan pada hari sama kemalangan itu berlaku mempunyai unsur ketidakpatuhan pada prosedur dan menimbulkan keraguan.

“Satu daripada syarat wajib untuk urusan membawa pulang jenazah yang meninggal dunia di luar negara adalah mempunyai surat kebenaran daripada pejabat Konsulat Malaysia di Songkla, Thailand tapi dalam kes ini, tiada dikeluarkan surat berkenaan.

“Jenazah tiba di Malaysia kurang dari 12 jam”

“Begitu juga dengan tempoh yang singkat urusan membawa pulang jenazah yang kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari tapi untuk jenazah ini tidak sampai 12 jam sudah tiba di negara ini,” katanya lagi.

Menurutnya Azhar, pihaknya juga sudah ke Wisma Putra dan mendakwa ada pengesahan dari seorang pegawai di sana tentang urusan membawa pulang jenazah pengasas kosmetik Dnars Skincare itu tidak mengikut prosedur sebenar.

Daripada maklumat yang dikumpul, Azhar turut menasihatkan anak guamnya untuk membuat laporan kepada SPRM kerana mengesyaki ada unsur ketidakpatuhan.

“Laporan lengkap sudah dibuat dan kami berharap pihak SPRM dapat menjalankan siasatan terperinci agar keluarga dapat mengetahui apa yang berlaku sebenarnya,” ujarnya.

Faisal berharap siasatan dijalankan dengan segera

Sementara itu, Mohd Faisal berharap agar siasatan dapat dijalankan dengan segera bagi mengelak masalah yang akan timbul di kemudian hari.

Mohd Faisal berkata, proses yang cepat dan lancar ketika membawa pulang jenazah adiknya itu dulu agak melegakan namun dalam masa yang sama menimbulkan keraguan ahli keluarga yang tiada di lokasi kejadian serta sepanjang proses kemasukan jenazah ke Malaysia.

“Ia berlaku terlalu pantas sedangkan arwah bapa kami yang meninggal dunia di luar negara dahulu memakan masa paling kurang dua hari sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang. Apabila berlaku terlalu cepat (proses membawa pulang jenazah), ia memang satu audit yang bagus tapi dibimbangi menimbulkan masalah di kemudian hari,”

Mohd Faisal Rohban Ahmad

Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia ketika dalam perjalan ke sebuah pondok di Yala selepas terlibat dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019.

Terdahulu, ahli keluarga mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk menuntut siasatan lebih terperinci dilakukan berkenaan kematian arwah.

Baca artikel berkaitan:

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.