fbpx
Now Reading
Menara Ilham Disita Dipercayai Kes Seleweng Dana Negara RM2.3 Bilion Babit Tokoh Korporat & Bekas Menteri Kanan

Menara Ilham Disita Dipercayai Kes Seleweng Dana Negara RM2.3 Bilion Babit Tokoh Korporat & Bekas Menteri Kanan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan tentang kes tersebut kepada Bernama bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham dipercayai berhubung kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan pada Isnin lalu (18 Disember) di Kuala Lumpur.

Menurut Bernama yang memetik sumber SPRM, bangunan itu yang turut menempatkan pejabat tokoh korporat berkenaan disita di bawah Akta SPRM 2009.

Penyitaan harta tak alih disiarkan dalam ruangan notis semalam oleh portal berita online

Penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita online semalam (20 Disember).

Notis yang ditandangani oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akrab Gharib itu menyatakan Pendaftaran Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita bangunan terbabit yang beralamat di No.8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Difahamkan, arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah setelah berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh pegawai agensi antirasuah terbabit.

Segala urusan berkaitan Menara Ilham telah dilarang menerusi notis tersebut

Dalam pada itu, notis berkenaan juga melarang segala urusan berkaitan Menara Ilham dan mencatatkan terma notis pada dokumen hak milik bangunan tersebut di pejabat Pendaftaran Hak Milik.

Individu yang tidak mematuhi notis tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta berkenaan atau RM50,000 mengikut nama lebih tinggi dan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan tentang kes tersebut kepada Bernama bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

SPRM siasat tokoh korporat terlibat kes seleweng dana negara RM2.3 bilion

Terdahulu, pada Mei lepas, SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang tokoh korporat mengenai kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.