fbpx
Now Reading
Ditekup Dengan Bantal, Pelajar Tingkatan 4 Maut Dipercayai Dibunuh Teman Lelaki

Ditekup Dengan Bantal, Pelajar Tingkatan 4 Maut Dipercayai Dibunuh Teman Lelaki

Mangsa sudah berkenalan dengan suspek, 24, sejak setahun yang lalu dan hubungan mereka turut diketahui keluarga suspek.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pelajar perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah di Lembah Klang maut selepas dipercayai dibunuh teman lelakinya akibat satu salah faham pada Ahad, 26 Jun di rumah lelaki berkenaan di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang,

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong, pihaknya menerima satu panggilan sekitar jam 3.40 pagi oleh ahli keluarga suspek yang memaklumkan penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

“Pada jam 2 pagi semalam, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa. Suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.

“Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut. Ahli keluarga kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di Klang pada Isnin (27 Jun).

Punca kematian adalah disebabkan lemas disyaki ditekup dengan bantal

Sewaktu pemeriksaan awal, pihak berkuasa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di muka dan leher mangsa.

Namun hasil bedah siasatan yang dijalankan kemudiannya mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pula mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup disyaki dengan menggunakan bantal. Bantal itu dijadikan barang bukti kes.”

Sudah berkenalan sejak setahun lalu

Siasatan lanjutan mendapati mangsa sudah berkenalan dengan suspek, 24, seorang penganggur sejak setahun yang lalu. Hubungan mereka juga diketahui keluarga suspek.

“Bagaimanapun ketika kejadian, ibu bapa serta abang suspek sedang tidur dan mereka tidak mendengar bunyi bising, hanya dikejutkan oleh suspek selepas kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau lagi, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau kini ditahan reman sehingga 3 Julai depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.