fbpx
Now Reading
Isteri Ketua Kampung Maut Dijerut Kabel Pengecas Telefon Ketika Disamun

Isteri Ketua Kampung Maut Dijerut Kabel Pengecas Telefon Ketika Disamun

Wanita ini difahamkan dibunuh ketika dia dan suaminya yang juga Ketua Peneroka Felda di kawasan tersebut disamun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang wanita berusia 52 tahun maut selepas dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Felda Mengkuang, Triang, Pahang pada Selasa, 6 Julai.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Kumaran Nyanasagaran, wanita berkenaan, Siti Zuliana Said, 52 dan suaminya yang juga ketua kampung kawasan tersebut menjadi mangsa samun selepas rumah mereka dipecah masuk melalui pintu belakang.

Suspek kemudiannya masuk ke bilik tidur mereka lalu mencederakan suami mangsa yang berusia 60 tahun hingga pengsan selain dipercayai menjerut leher wanita berkenaan dengan kabel pengecas telefon.

Kejadian berlaku awal pagi

“Pihak polis menerima maklumat pada jam 10.45 pagi iaitu seorang wanita telah maut dipercayai dibunuh di rumahnya.

“Suspek dipercayai telah masuk ke dalam rumah kira-kira jam 7.30 pagi melalui pintu belakang rumah dan masuk ke bilik mangsa.

“Mangsa dipercayai telah dijerut dengan kabel pengecas telefon dan turut mencederakan suami mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Berjaya bawa lari duit dan kereta suami mangsa

Tambah beliau suspek berjaya melarikan diri menggunakan kereta di rumah tersebut selain membawa bersama sejumlah wang.

“Suspek dipercayai melarikan wang tunai lebih kurang RM6,000 dan kereta milik suami mangsa, Honda City, dengan nombor pendaftaran DAD 9799,” kata Kumaran.

Kes berkenaan masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan pada masa ini.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.