fbpx
Now Reading
“Takdir Allah Mengatasi Segalanya” – Muhammad Iman Patut Bernikah Bulan Ini

“Takdir Allah Mengatasi Segalanya” – Muhammad Iman Patut Bernikah Bulan Ini

Dalam pada itu, adik kepada arwah memaklumkan jenazah abangnya masih belum boleh dituntut sehingga urusan di hospital selesai.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Sabtu lalu (23 Julai) pihak polis telah mengesahkan bahawa penemuan rangka manusia di dalam kereta yang dijumpai di dalam Sungai Api-Api, Pekan, adalah milik pemuda yang dilaporkan hilang sejak bulan Oktober tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat ditemukan dalam kereta Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan.

Kata Zaidi, kereta yang dijumpai itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain pemeriksaan menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

Tambahnya, mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat, manakala kereta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

Allahyarham sepatutnya bernikah bulan ini

Terbaharu media melaporkan, Allahyarham Muhammad Iman Aqmar, 24, sepatutnya melangsungkan pernikahan bersama tunangnya pada bulan ini.

Bapa saudara Allahyarham, Azuni Abd Kadir berkata, anak saudaranya sudah setahun bertunang dengan pilihan hatinya sebelum kejadian malang itu terjadi.

Menurutnya, majlis pernikahan Allahyarham pada awalnya dijadualkan berlangsung Januari lalu. Namun kerana bapa tunangannya baharu meninggal dunia kira-kira dua bulan sebelum kehilangannya, keluarga sepakat menunda majlis pernikahannya pada bulan ini.

“Bagaimanapun, takdir Allah mengatasi segala perancangan kita. Allahyarham tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan 29 Oktober tahun lalu. Allahyarham sepatutnya bernikah bulan ini.”

Bapa Saudara Allahyarham, Azuni Abd Kadir

Kisah kehilangan Amar tular sejak tahun lalu

Terdahulu, kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu apabila adiknya meminta agar orang ramai mengesan keberadaan abangnya selepas gagal dikesan oleh ahli keluarga.

Muhammad Iman Aqmar difahamkan bertolak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi ke Terengganu dengan memandu bersendirian, sebelum gagal dihubungi keluarga serta majikan tempatnya bekerja.

Menerusi kemas kini terbaharu daripada adik Allahyarham yang dikongsikan di laman Facebook miliknya, jenazah abangnya itu masih belum boleh dituntut dan urusan pengebumian akan diberitahu kelak setelah urusan di hospital selesai.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.