Remaja Dakwa Dirogol Pegawai Polis, Kesan Air Mani Ditemui Pada Cadar & Sarung Bantal
Menurut Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, ada prosedur khusus yang perlu dipatuhi dalam mengendalikan sebarang kes rogol membabitkan kanak-kanak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang gadis 16 tahun di Kedah tampil membuat satu laporan polis mendakwa telah dirogol oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor pada Rabu, 28 Disember 2022 yang lalu.
Menurut Harian Metro yang memetik sumber, remaja berkenaan yang membuat laporan pada Sabtu (31 Disember) mendakwa insiden itu berlaku di pejabat pegawai polis terbabit di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira jam 6.30 petang.
Difahamkan insiden bermula apabila mangsa dipanggil oleh Inspektor berusia 30-an itu ke IPD bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan rogol oleh gadis tersebut melibatkan bapa tirinya.
“Ketika berada dalam bilik, inspektor berkenaan yang juga pegawai penyiasat kes (IO) membabitkan remaja perempuan itu memberitahu dia mahu membuat pemeriksaan pada kemaluan mangsa.
“Mangsa ketika itu sedang duduk di kerusi dan pegawai berkenaan kemudian memintanya supaya mengangkang untuk memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadapnya,” katanya.
“Inspektor berkenaan kemudiannya memegang kemaluan mangsa dan mengarahkannya supaya baring atas katil yang ada dalam bilik berkenaan dalam keadaan bogel,” katanya.
Guna alasan alat pemeriksaan tak berfungsi dengan baik lalu rogol mangsa
Pegawai polis itu bagaimanapun gagal mengawal nafsunya lantas merogol mangsa.
Dia turut membuat alasan bahawa alat yang digunakan untuk membuat pemeriksaan ke atas mangsa gagal berfungsi dengan baik.
“Walaupun takut namun mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu membiarkan tubuhnya dinoda inspektor berkenaan,” katanya.
Tambah sumber lagi, selepas 30 minit mangsa yang sudah tidak bersekolah mendakwa telah diminta untuk menyarung semula pakaian selain diberitahu bahawa kes berkenaan belum selesai dan akan diarahkan datang semula untuk siasatan.
Mangsa buat laporan polis & sudah diambil keterangan
Ekoran dari insiden itu, mangsa membuat satu laporan polis pada Sabtu lalu sebelum dipanggil ke IPD untuk diambil keterangan.
“Remaja perempuan itu juga sudah dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan sepasukan polis unit forensik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian turut menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal.”
Kata sumber kepada Harian Metro
Pegawai polis sudah ditahan
Memetik laporan sama, pegawai polis terlibat sudah pun ditahan. Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani juga mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.
Ada prosedur khas dalam kes rogol libatkan kanak-kanak
Dalam pada itu, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan ada prosedur khusus yang perlu dipatuhi dalam mengendalikan sebarang kes rogol membabitkan kanak-kanak.
Memandang serius dakwaan itu, Azalina yang tampil menerusi satu ciapan di Twitter turut menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang dalam hal-hal berkaitan.
Beliau dalam masa sama turut berkongsi garis panduan yang sepatutnya diguna pakai dalam mengendalikan kes berkenaan.