fbpx
Now Reading
Industri Takaful Catat Perkembangan Kukuh Bagi Tahun 2022

Industri Takaful Catat Perkembangan Kukuh Bagi Tahun 2022

Takaful Keluarga mencapai Kadar Penetrasi sebanyak 20.1% pada 2022 berbanding 18.6% pada tahun sebelumnya berdasarkan bilangan sijil yang berkuat kuasa berbanding jumlah penduduk Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) semalam (13 April) mengumumkan prestasi cemerlang industri Takaful untuk 2022 selaras pemulihan pasca-pandemik negara.

Pertumbuhan positif industri ini berikutan beberapa faktor termasuk populariti produk takaful yang semakin meningkat di kalangan pengguna, pengenalan produk inovatif baharu dan penggunaan teknologi digital untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Takaful Keluarga mencapai Kadar Penetrasi sebanyak 20.1% pada 2022 berbanding 18.6% pada tahun sebelumnya berdasarkan bilangan sijil yang berkuat kuasa berbanding jumlah penduduk Malaysia.

Pertumbuhan industri ini didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk produk kewangan Islam dan penerimaan produk takaful sebagai skim perlindungan yang digemari. Industri ini juga telah mencapai kemajuan ketara dalam transformasi digital dengan ramai penggiat yang memanfaatkan platform dalam talian untuk pengguna membeli produk dan Pengendali Takaful untuk mengurus produk takaful.

“Kita sedang menyaksikan permintaan tinggi untuk produk takaful, di mana semakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan melindungi diri dan keluarga mereka daripada risiko kewangan. Bilangan sijil yang aktif untuk 2022 telah meningkat kepada 6.63 juta sijil, berbanding 6.07 juta pada 2021.”

Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas.

Foto: Afifa/ BuzzKini

Pasaran Takaful Keluarga telah menunjukkan ketahanan yang kuat dengan sumbangan takaful tahunan bagi perniagaan baru yang dikekalkan di atas paras RM2 bilion, dengan catatan RM2.19 bilion (penurunan sedikit sebanyak 1.9%) berbanding dengan RM2.23 bilion pada 2021.

Secara keseluruhan, industri perniagaan baru Takaful Keluarga mencatat sumbangan kasar sebanyak RM10.06 bilion, peningkatan sebanyak 18.3% berbanding dengan RM8.5 bilion pada 2021. Serentak dengan itu, sejumlah 1.31 juta sijil perniagaan baru telah dikeluarkan pada 2022, meningkat sebanyak 15.6% daripada 1.14 juta sijil pada tahun.

Sementara itu, sumbangan kasar bagi perniagaan keseluruhan yang masih berkuat kuasa adalah sebanyak RM8.34 bilion pada 2022 berbanding dengan RM7.42 bilion pada 2021.

Agensi dan Bancatakaful merupakan saluran utama untuk sumbangan jumlah keseluruhan perniagaan baru iaitu 22% dan 44% masing-masing. Bagi perniagaan baru, Agensi merekodkan 72% sebagai saluran pengedaran utama untuk pelan Takaful Sumbangan Tahunan. Sementara itu, Bancatakaful merupakan penyumbang utama untuk pelan Takaful Sumbangan Tunggal dengan 49%.

Berkenaan dengan perniagaan agensi, pandemik telah memberi kesan yang ketara terhadap kadar pertumbuhan pengambilan ejen baru. Pada 2022, MTA telah mendaftarkan sebanyak 39,027 ejen baru. Petunjuk arah aliran pengambilan yang berterusan kukuh pada 2021, mencatatkan jumlah yang lebih tinggi daripada yang dilihat dalam pra pandemik sebelum 2019 yang menjadi penunjuk penting bagi kekuatan berterusan bagi industri ketika kita beralih daripada fasa endemik dalam ekonomi kita”. beliau menambah.

Sektor industri lain juga menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada 2022, perniagaan Takaful Am menyumbang Sumbangan Langsung Kasar sebanyak RM4.64 bilion, dengan perniagaan Takaful Kenderaan menyumbang sebanyak RM3.07 bilion, dan perniagaan Takaful Kebakaran sebanyak RM0.84 bilion. Ini adalah peningkatan masing-masing sebanyak 21.1%, 20.7% dan 23.5% daripada prestasi pada 2021. Perniagaan Takaful Kenderaan kekal berada di posisi teratas dari segi campuran portfolio Takaful Am pada 66.2% [2021: 66.4%], diikuti oleh perniagaan Takaful Kebakaran pada 18.2%.

Bagi 2022, industri Takaful membayar sejumlah RM 7.02 bilion dalam tuntutan bersih, meningkat 25.9% daripada tahun sebelumnya, RM 5.58 bilion. Daripada jumlah ini, Takaful Keluarga mencatatkan jumlah pembayaran tuntutan bersih sebanyak RM 5.53 bilion yang mempunyai peningkatan pertumbuhan sebanyak 23.09% daripada tahun 2021, RM 4.50 bilion.

Sementara itu, Takaful Am mencatatkan jumlah pembayaran tuntutan bersih berjumlah RM 1.49 bilion, meningkat 38% daripada tahun sebelumnya, RM 1.08 bilion. Ini menunjukkan komitmen industri untuk menyediakan perlindungan kewangan kepada pelanggan dan masyarakat serta menekankan sumbangannya dalam menyokong ekonomi.

MTA mengharapkan industri Takaful dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2023, walaupun pada kadar yang sederhana, memandangakn negara masih berada dalam fasa pemulihan pandemik. Industri ini tetap komited untuk menyediakan perlindungan Takaful yang mudah diakses dan berpatutan kepada semua rakyat Malaysia, sebagai antara usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

MTA akan terus memainkan peranannya ke arah mempertingkatkan tahap kesedaran awam dan swasta terhadap produk Takaful dan perkhidmatan Takaful dan meletakkannya sebagai pemangkin kepada transformasi dan pertumbuhan industri Takaful untuk masa hadapan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.