Tahan Gaji Pemain Sebab Nak TRW Berusaha Menang Perlawanan – Norizam Tukiman
Norizam Tukiman juga menafikan dakwaan dia sengaja melarikan diri daripada membayar gaji pemain selain telah berhutang tunggakan gaji selama dua bulan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai pendedahan pemain The Red Warriors (TRW) yang mendakwa dihimpit masalah kewangan selepas pihak pengurusan Kelantan FC tidak membayar gaji penuh kepada para pemain.
Pendedahan tersebut nyata menimbulkan kemarahan peminat sukan bola sepak negara yang menyifatkan tindakan pihak pengurusan Kelantan FC itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
Setelah beberapa ketika mendiamkan diri, pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan itu.
Tahan gaji pemain sebab ingin kemenangan
Kata Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham, dia menahan gaji para pemain kerana ingin mereka berusaha untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanaan.
Selain itu, Zamsahan juga menafikan bahawa dirinya sengaja lari daripada membayar gaji pemain termasuk menolak dakwaan telah berhutang tunggakan gaji selama dua bulan.
“Sebelum ini semua pemain dapat gaji penuh. Benar, memang ada lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama, tapi tiap-tiap bulan semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh. Tak benar dua bulan gaji tertunggak.
“Tapi ini bila kekalahan berterusan 10 kali. Saya kata nak gaji penuh April bagilah saya kemenangan. Main betul-betul sungguh. Saya bukan tolak gaji, saya tahan,” katanya dipetik Harian Metro.
Jelasnya lagi, dia menyeru agar pemain TRW mencari kemenangan pada aksi Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mohammad IV pada Jumaat ini (2 Jun).
Ujar Zamsaham, mencari duit bukanlah sesuatu yang mudah dan dia hanya ingin merasa berbaloi dengan kemenangan yang diperolehi.
“Kalau tak menang, seri pun jadilah. Takdir ya takdir, tapi kenalah usaha lebih. Untuk ‘match’ minggu ini, berikan yang terbaik dan kemenangan. Kalau tak menang usahalah sehabis baik kepada seri. Kalau kalah, biarlah kalah bermaruah.
“Saya telah bayar semua gaji, takda tunggakan dan saya janji baki gaji yang ditahan 50% semua akan dibayar. Mainlah sehabis baik. Saya nak menang sebenarnya, itu saja,” katanya lagi.
Tular pendedahan isu gaji oleh penjaga gol TRW, Farhan Abu Bakar
Terdahulu, media melaporkan isu pengurusan Kelantan FC kembali menjadi bualan hangat apabila tular pendedahan yang dibuat penjaga gol The Red Warriors (TRW), Farhan Abu Bakar yang mendakwa tidak menerima bayaran gaji penuh daripada kelab.
Farhan berkongsi di ‘IG Story’ tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp bersama salah seorang pihak pengurusan TRW menerusi akaun Instagram miliknya.
Menerusi tangkap layar tersebut, Farhan memerlukan RM4000 bagi mengambil semula keretanya yang ditarik pihak bank susulan gaji yang diterima hanyalah RM2426 berbanding gaji kasar RM5500.
Selain Farhan, seorang lagi pemain TRW yang enggan mendedahkan namanya turut berhadapan dengan situasi yang sama.
Lebih memburukkan keadaan, apabila pemain terbabit mengakui sering bergaduh dengan isterinya ekoran isu berkenaan.
Buat aduan kepada PFAM untuk tuntut keadilan
Susulan itu, Farhan mewakili 19 pemain TRW telah tampil membuat aduan rasmi kepada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) semalam (29 Mei) bagi menuntut keadilan.
PFAM BERSAMA PEMAIN KELANTAN FC
— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) May 29, 2023
Satu pertemuan antara wakil pemain Kelantan FC telah diadakan bersama dengan PFAM diwakili Eksekutif Perundangan PFAM, Syafiq Jebat di pejabat PFAM, Kuala Lumpur hari ini. #PFAMalaysia #SupportingThePlayers #BuildingTheGame pic.twitter.com/3kYTrXZZ3t
Jelas di sini, isu gaji bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah oleh pihak pengurusan kerana ia akan menyebabkan pelbagai masalah lain terutamanya melibatkan bayaran komitmen bulanan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: