fbpx
Now Reading
Polis Buru 2 Lelaki Selepas Tular Pukul Pekerja Kedai Serbaneka Di Semenyih

Polis Buru 2 Lelaki Selepas Tular Pukul Pekerja Kedai Serbaneka Di Semenyih

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki bersama rakannya dilihat memukul seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam kerana berang ditegur membawa keluar barang dari premis tanpa membayarnya.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya sedang giat memburu kedua-dua lelaki berkenaan yang disyaki menumbuk dan mencederakan pekerja kedai tersebut.

Polis terima laporan daripada mangsa pada pagi semalam

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berumur 18 tahun pada jam 7.38 pagi semalam (20 Jun) berhubung kejadian terbabit yang berlaku di Semenyih.

“Menurut pengadu iaitu mangsa dalam kejadian ini sedang bekerja di sebuah premis serbaneka 24 jam sebelum pada jam lebih kurang 5 pagi telah didatangi dua lelaki tempatan yang tidak dikenali mahu membeli minuman.

“Kemudian salah seorang dari suspek telah mengambil tiga batang payung dan bertindak keluar dari premis tanpa mahu membuat sebarang bayaran di kaunter,” katanya dalam satu kenyataan.

Berlaku pertengkaran lepas ditegur sebelum menumbuk muka pengadu

Menurutnya lagi, susulan itu pekerja terbabit menegur lelaki berkenaan dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek kembali ke dalam premis lalu menumbuk pengadu di muka.

“Selepas kejadian tersebut, suspek beredar meninggalkan premis dan pengadu telah mendapatkan rawatan di hospital dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Berikutan kejadian ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua puluh tahun, dan denda atau sebat,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Mohd Zaid menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Kajang di talian 03-89114222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-257036995.

Tular video lelaki dipercayai mabuk pukul pekerja kedai serbaneka

Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan seorang lelaki dipercayai mabuk memukul seorang pekerja kedai serbaneka ketika dia datang ke premis berkenaan bersama seorang lagi kawannya.

Selepas kejadian itu, rakan suspek sempat mengambil swafoto sambil tersenyum bersama mangsa yang sedang berdarah di hidung.

Penularan video dan gambar swafoto itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai, di mana rata-rata pengguna media sosial mengecam perbuatan individu berkenaan dan ingin pihak berkuasa segera mengambil tindakan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.