Tawaran Sertai Bersatu: KJ Dedah Sudah Ada Jawapan Tapi Muhyiddin Minta Fikirkan Lagi [Video]
Menurut KJ, memandangkan DUN belum lagi bubar maka masih ada masa untuk sebarang kemungkinan berlaku/
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Nama Khairy Jamaluddin atau KJ tidak asing lagi di dalam dunia politik, malah selepas dibuang dari parti UMNO ramai yang mempelawanya untuk menyertai parti mereka.
Meskipun mendapat tawaran daripada pelbagai pihak namun bekas Menteri Kesihatan ini masih lagi belum memberi sebarang jawapan parti manakah yang menjadi pilihannya.
Malah gambar yang tular di media sosial memaparkan pertemuan KJ bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin (19 Jun) lalu membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai statusnya memandangkan parti itu turut menawarkan keahlian serta peluang untuk terlibat di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
KJ setuju untuk fikirkan lagi
Ekoran itu, KJ tampil menjelaskan pertemuan bersama bekas Perdana Menteri ke-8 itu kerana dia mempunyai hutang jawapan.
“Saya telah berjumpa dengan beliau dan memberi pandangan dan beliau telah minta supaya saya fikirkan lagi.
“Saya pun telah setuju untuk fikirkan lagi, dan meminta beliau sedikit masa,” katanya.
KJ bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sama ada dia menerima mahupun sebaliknya terhadap tawaran yang diberikan oleh parti itu.
Ketika ditanya oleh Shahril Hamdan adakah buat masa ini dia belum mempunyai jawapan muktamad, KJ memaklumkan ada namun Muhyiddin memintanya untuk fikirkan lagi.
Sudah ada keputusan namun masih boleh dipertimbangkan lagi
Jelasnya, memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum lagi bubar maka masih ada masa untuk sebarang kemungkinan berlaku.
“DUN belum lagi bubar jadi mungkin ada sedikit lagi masa untuk apa-apa berlaku.
“Bagi saya ada keputusan namun apabila pemimpin yang saya sanjungi minta untuk saya fikirkan lagi, jadi saya fikirkan lagi.
Perkara itu dijelaskan oleh KJ menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ di YouTube bersama dengan Shahril Hamdan pada minit 16:36.