fbpx

Dua Anggota TUDM Maut, Bom Lempar Meletup Ketika Sesi Latihan

TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kes kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalan siasatan lanjut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang anggota dan seorang jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia selepas bom lempar meletup semasa sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan semalam (25 Jun).

Difahamkan, seorang lagi jurulatih yang turut terkena letupan bom berkenaan parah ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem tersebut.

Bom lempar meletup di dalam bunker

Menurut sumber yang dipetik Berita Harian, bom berkenaan meletup di dalam bunker ketika proses latihan sedang dijalankan sekitar jam 12.00 tengah hari itu.

“Kejadian berkenaan membabitkan dua jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran dan Pengajian Pengkalan Udara Sendayan (INSTAR).”

Bom lempar meletup ketika anggota TUDM jalani latihan KPPP Kls 1

Sebelum ini, Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata, insiden itu membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23.

“Kemalangan berlaku kira-kira jam 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat,” katanya.

Seorang jurulatih meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan

Bagaimanapun, menerusi kemas kini terbaharu, TUDM memaklumkan salah seorang jurulatih yang parah turut meninggal dunia pada hari yang sama sekitar jam 5.45 petang ketika sedang menerima rawatan di hospital.

“Anggota yang mengalami kecederaan parah menghembuskan nafas terakhir pada hari yang sama, jam 5.45 petang. Seorang lagi jurulatih kini di dalam pemantauan rapi dan keadaan anggota dilaporkan stabil.”

TUDM

TUDM telah hubungi waris anggota dan serah kejadian pada PDRM untuk siasatan

Menurut kenyataan itu lagi, pihak TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kes kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalan siasatan lanjut.

“Seterusnya, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Pihak TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan dijalankan oleh pihak PDRM selesai dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.