fbpx

TUDM Tunaikan Impian Pesakit Kanser Leukemia Untuk Menjadi Pilot Muda

Hasrat adik Muhammad Irfan untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang akhirnya menjadi kenyataan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Walaupun diuji dengan penyakit kanser leukimia pada usia yang masih muda, ia tidak sesekali menjatuhkan semangat adik Muhammad Irfan yang berusia 15 tahun untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Impian dan cita-cita adik Irfan itu ibarat mimpi yang menjadi kenyataan apabila TUDM telah berbesar hati untuk menunaikan hasratnya.

Sebelum ini, keinginan adik Irfan itu hanya dizahirkan pihak Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) selepas dimaklumkan oleh ibu bapanya. Pasangan itu mahu memenuhi impian anak keempat mereka yang telah disahkan mengidapi kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia).

Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan berkata, atas dasar keprihatinan dan empati, TUDM melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan bantuan Kolej Tentera Udara mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi merealisasikan impian Irfan yang berjuang melawan sakit kanser.

“Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Mazatul Rohana Saleh dan Mohd Shukri Talib dibawa dari kediaman mereka di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

“Ketibaan adik Irfan dan keluarga disambut Pegawai Laksana Pangkalan, Kolonel Engku Faizal Engku Mustafa TUDM; Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Hafiz Abu Bakar TUDM; Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Butterworth, Leftenan Kolonel Dr Zarina Zakiah Zainuddin; Pegawai Jiwa Murni Skuadron, Kapten Mohd Faiz Hazmi TUDM serta warga Skuadron,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir juga ialah empat pegawai dari Badan Bukan Kerajaan, FOCCAN bersama seorang lagi pejuang kanser yang diketuai Siti Salmah Salleh.

Irfan seterusnya dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan seragam ‘flying suit’ milik TUDM. Selepas itu, taklimat lawatan dan pengenalan ringkas berkaitan skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang juga telah disampaikan oleh Leftenan Kolonel Mohd Hafiz yang mengiringi sepanjang lawatan.

Sesi lawatan bermula dengan lawatan ke Hangar No 15 skuadron untuk melihat lebih dekat di samping bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No 15 Skuadron dan F/A18D dari No 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat.

Sebagai meraikan tetamu yang cukup istimewa TUDM ini, Irfan dan keluarganya turut disajikan dengan persembahan pengoperasian pesawat pejuang Hawk bermula dari pemeriksaan awal pesawat sebelum terbang, melihat pesawat berlepas dan kembali mendarat.

Adik Irfan kemudiannya dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai kenangan serta sumbangan kepada adik Irfan dan keluarga.

Ujar pihak TUDM, “Melihat insan kerdil yang diuji dengan masalah kesihatan yang kronik, ternyata Irfan adalah seorang ‘pejuang muda’ dengan semangat juangnya melawan sakit kanser

“Semoga tanggungjawab sosial TUDM menunaikan impian Irfan dapat menggembirakan hatinya serta kedua ibu bapa.

“Seluruh warga TUDM mendoakan Irfan beroleh kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan meminta semua turut mendoakannya.”

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.