fbpx
Now Reading
Pakar Ramal Teknologi AI Bakal Jejas Peluang Pekerjaan Rakyat Malaysia Di 9 Industri Utama

Pakar Ramal Teknologi AI Bakal Jejas Peluang Pekerjaan Rakyat Malaysia Di 9 Industri Utama

Dr Muhammad Aiman Arifin berpendapat bagi mengelakkan jurang di antara teknologi dan tenaga manusia, pekerja perlu memperkasakan kemahiran melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, sebuah stesen radio swasta telah memperkenalkan penyampai radio yang menggunakan kecerdasan buatan (AI). Malah, sebelum ini juga, sebuah stesen televisyen tempatan turut memperkenalkan penyampai berita hasil daripada teknologi tersebut.

Walaupun pada masa kini teknologi AI dikatakan memudahkan kehidupan seharian, namun ia sebenarnya mendatangkan kebimbangan bagi sesetengah pihak.

Teknologi AI Bakal Jejas Sembilan Industri Utama

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia) Universiti Teknologi Mara Kampus Arau, Dr Muhammad Aiman Arifin, teknologi ini bakal memberi kesan kepada peluang individu untuk menceburi sembilan bidang utama menjelang tahun 2030.

Sembilan industri tersebut adalah:

  • Industri Makanan
  • Kesihatan
  • Perkhidmatan Pelanggan,
  • Perbankan
  • Logistik
  • Khidmat Jualan
  • Pengangkutan
  • Pemasaran
  • Fesyen

Teknologi AI Beri Tiga Kesan Utama

Beliau mengaku bahawa teknologi AI sedikit sebanyak membantu sesetengah industri. Namun, menurut beliau, ia juga boleh memberi kesan yang berbeza kepada industri tertentu.

“Kesan pertama, ia akan menyebabkan tenaga kerja manusia tidak diperlukan lagi kerana ia akan diganti sepenuhnya oleh AI,” katanya.

Menurut beliau, kesan yang kedua bergantung kepada keputusan majikan untuk menggabungkan manusia dan robot bagi memastikan kelancaran berkaitan manakala kesan yang ketiga adalah meneruskan penggunaan sepenuhnya kepada tenaga manusia.

Perkasakan Pekerja Melalui Program Peningkatan Kemahiran (Upskilling) & Latihan Semula (Reskilling)

Semalam (26 Jun), media melaporkan 4.5 juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (upskilling) dan melaksanakan latihan semula (reskilling).

Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, Forum Ekonomi Dunia 2020 telah meramalkan bakal berlaku kemelesetan pasaran pekerjaan bagi industri tertentu akibat daripada penggunaan teknologi AI.

Mengakui perkara tersebut, menurut Aiman, teknologi AI kini sudah semakin banyak digunakan dalam industri makanan contohnya penggunaan robot penghantar makanan dan minuman di kedai makan.

Beliau berpendapat bagi mengelakkan jurang di antara teknologi dan tenaga manusia, pekerja perlu memperkasakan kemahiran melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Kita perlu fokus kepada aspek meningkatkan kemahiran serta mengasah bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri jika tidak ramalan 4.5 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan menjadi realiti,” katanya.

Terdahulu, Forum Ekonomi Dunia Tahun 2020 telah menyenaraikan beberapa pekerjaan dan industri yang bakal menjejaskan tenaga kerja manusia akibat daripada penggantian dengan teknologi AI.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.