Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Kerajaan tidak menghalang usaha Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melaksanakan pengeluaran secara bulanan atau berkala bagi ahlinya yang sudah mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan sendiri sokongannya terhadap usaha itu selepas hadir merasmikan International Social Wellbeing Conference (ISWC) di sebuah hotel hari ini (6 Julai).
Cadangan pengeluaran secara bulanan kini di peringkat akhir
Menurutnya, cadangan tersebut kini di peringkat akhir dan ia juga bergantung kepada keupayaan KWSP selepas ini.
“Itu (cadangan pengeluaran) masih di peringkat akhir dan saya tidak keberatan dan bergantung kepada keupayaan KWSP.
“Namun seperti yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) terdapat beberapa kekangan terutamanya ada kalangan pencarum yang mempunyai simpanan yang kecil,” katanya dipetik Kosmo.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan untuk pengeluaran berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu.
Pengeluaran secara bulanan sebelum ini dilakukan secara sukarela
Jelasnya, ketika ini pengeluaran secara berkala atau bulanan itu dilakukan secara sukarela dan ia dilihat mampu memberikan peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Ujarnya lagi, pengeluaran secara berkala itu juga dapat memberi peluang kepada pencarum untuk terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.