Abang Sanusi Dedah Banglo Miliknya Hanya Bernilai RM1 Juta
Menurutnya, berita rumah berkenaan bernilai RM7.8 juta adalah tidak benar sebaliknya ia lebih kurang RM1 juta sahaja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial hantaran memaparkan sebuah banglo di Sik, Kedah yang didakwa mempunyai kaitan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Malah ada yang mengatakan banglo mewah tersebut adalah milik kepada pemimpin PAS berkenaan dan menganggarkan ia bernilai jutaan ringgit.
Beliau kemudian tampil memaklumkan bahawa rumah berkenaan bukan miliknya tetapi kepunyaan abangnya, Shahbudin Mohd Nor.
Banglo mewah bernilai RM1 juta dibina guna wang hasil titik peluh
Terbaharu, abang kepada pemimpin parti PAS itu telah tampil mendedahkan bahawa banglo mewah yang menjadi perhatian ramai di media sosial sejak akhir-akhir ini hanya bernilai RM1 juta sahaja dan tidak berharga RM7.8 juta seperti yang diperkatakan.
Katanya, banglo mewah tersebut dibina menggunakan wang hasil titik peluhnya yang menyimpan sedikit demi sedikit untuk membina rumah impian yang boleh memberikan keselesaan kepada keluarga tersayangnya.
“Tanah dan rumah lama ini adalah pusaka daripada ibu mentua yang diberikan kepada isteri saya, sebelum ini kami menetap di Sungai Petani, apabila bapa mentua meninggal, setelah kata sepakat dicapai, kami yang kena pulang ke kampung ini untuk menjaga ibu.
“Berita harga rumah ini bernilai RM7.8 juta itu tidak betul, sebut harga (quotation) pembinaan rumah ini hanya lebih kurang RM800,000 sahaja, setelah ditambah itu ini ia hanya lebih kurang RM1 juta sahaja, kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ni, lagi untung,”ujarnya dipetik Kosmo.
Berkhidmat sebagai penyelam dasar laut di luar negara
Menurut bapa kepada enam anak ini, selepas berhenti berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dia kini bekerja sebagai penyelam dasar laut.
Katanya lagi, banglo mewah tersebut telah dibina bermula Februari tahun lalu hingga kini dengan menggunakan wang simpanannya sebagai seorang pekerja penyelam dasar laut yang berkhidmat di luar negara.
“Gaji yang saya terima bergantung kepada kontrak yang diperolehi, ada yang bagus gajinya ada yang kurang bergantung kepada keadaan syarikat yang menawarkan pekerjaannya,” katanya yang enggan berkongsi gaji sebenarnya.
“Saya bukan ahli politik dan tidak kena mengena dengan Sanusi, saya hanya orang biasa sahaja, jadi hentikanlah fitnah ataupun isu yang tidak masuk akal ini kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan harmoni saya seisi keluarga.”