fbpx
Now Reading
Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Berdepan 46 Tuduhan Rasuah

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Berdepan 46 Tuduhan Rasuah

Mohd Azhar Mohd Yusoff dikatakan menerima jumlah suapan antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat pihak berbeza sebagai perlindungan kepada pihak terbabit agar tidak dikenakan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi setiap kesalahan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Temerloh hari ini (7 September) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 46 pertuduhan rasuah.

Tertuduh yang dikenali sebagai Mohd Azhar Mohd Yusoff didakwa menerima rasuah berjumlah RM70,600 tanpa balasan antara Mac 2019 hingga Januari 2023.

Mengaku Tidak Bersalah, Terdapat Pemindahan Wang Ke Dalam Akaun Kerja Rasmi

Walau bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas kesemua 46 pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Azhar didakwa melakukan kesemua pertuduhan itu pada Mac 2019 hingga Januari 2023 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian.

Pemindahan wang tersebut dilakukan ke akaun bank kerja rasmi miliknya sebagai pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Dia dikatakan menerima jumlah suapan bernilai antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat pihak berbeza sebagai perlindungan kepada pihak terbabit agar tidak dikenakan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi setiap kesalahan.

Didakwa Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan & Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pilihan pula, Mohd Azhar didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1).

Kesalahan tersebut boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak Pendakwa Mohon Tertuduh Dikenakan Jaminan RM40,000 & Syarat Tambahan

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif kemudian memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan.

Malah, Ahmad Feisal turut memohon kebenaran mahkamah agar tertuduh dikenakan syarat tambahan seperti melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan meminta tertuduh atau ejen tertuduh tidak mengacau saksi pendakwaan.

Peguam Mohon Jaminan Dikurangkan

Walaubagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam, memohon agar jaminan dikurangkan setelah mengambil kira latar belakang Azhar yang telah berkhidmat 30 tahun dalam PDRM.

Malah, dia juga dikatakan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan tatatertib sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Tertuduh merupakan seorang pegawai kanan polis dengan jawatan akhirnya adalah sebagai OCPD sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.

“Selain itu, tertuduh juga telah berkahwin dan isteri tertuduh kini berada dalam keadaan tidak sihat kerana menjalani pembedahan. Tertuduh telah berjanji untuk akur dengan segala arahan mahkamah selain tidak ada sebarang kemungkinan untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Seorang lagi peguam tertuduh Najib Zakaria, turut memohon agar jaminan paling minimum dikenakan atas anak guamnya berikutan Azhar berkemungkinan digantung tugas secara serta merta.

Mahkamah Tetapkan Ikat Jamin RM25,000, Serahkan Pasport Antarabangsa & Lapor Diri Kepada SPRM

Susulan daripada ini, mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM25,000 bercagar dengan seorang penjamin.

Malah, dia juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri kepada pejabat SPRM terdekat bermula September hingga perbicaraan selesai dan tidak menganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan semula 15 November sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.