Wanita Kerugian RM31,638 Akibat Tertipu Dengan Scammer Hantar Saman Trafik PDRM RM50
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, mangsa yang berusia 37 tahun itu menerima e-mel palsu mengenai urusan pembayaran saman trafik PDRM dari no-reply@rmp.gov.my.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada masa kini, kerap kali kita dihidangkan dengan kes-kes penipuan wang terutama yang berkaitan dengan scammer.
Jika dilihat pada waktu dahulu, yang paling biasa didengar adalah penipuan melalui panggilan telefon (phone scam).
Namun, seiiring dengan peredaran zaman dan teknologi, kes ini semakin berleluasa terutama yang melibatkan transaksi dalam talian.
Terbaharu, seorang wanita di daerah Petaling Jaya, Selangor mengalami kerugian sebanyak RM31,638 akibat daripada kes penipuan secara dalam talian yang menyatakan kononnya dia memiliki saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terima E-mel Ada Saman Trafik RM50
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, mangsa yang berusia 37 tahun itu menerima e-mel palsu mengenai urusan pembayaran saman trafik PDRM dari no-reply@rmp.gov.my.
Menerusi e-mel tersebut, dia dikatakan memiliki saman trafik PDRM sebanyak RM50. Malah, e-mel itu juga turut disertakan dengan pautan portal rasmi MyBayar PDRM https://mybayar.rmp.gov.my bagi membantu mangsa membuat semakan.
Hasil semakan mangsa melalui pautan itu mendapati dia sememangnya memiliki satu saman bernilai RM50.
Dapat Amaran Agar Pembayaran Dibuat Dengan Segera
Tambah Hussein, mangsa turut menerima amaran agar pembayaran saman dapat dibuat dengan segera melalui e-mel palsu tersebut.
“Ia turut menyertakan satu laman My Bayar PDRM bragi@noxmedical.com untuk mangsa membuat bayaran secara dalam talian.
“Mangsa kemudian menekan pautan ‘go to page payment’ dan dibawa masuk ke laman MyBayar PDRM iaitu My Bayar PDRM yang sebenarnya adalah palsu untuk membuat bayaran saman RM50 di mana mangsa mengisi butir-butir perbankan iaitu kata nama, kata kunci dan nombor OTP ke dalam borang yang disediakan dalam pautan itu.
“Setelah butiran perbankan dimasukkan transaksi bayaran terbabit gagal dengan skrin laman sesawang palsu itu menyatakan nombor kod SMS yang diterima tidak sah,” kata beliau.
Dapat Panggilan Daripada Pihak Bank
Wanita itu tidak menyedari bahawa segala butiran peribadi telah diperolehi oleh scammer melalui pautan palsu tersebut hingga membolehkan mereka memindahkan wang miliknya secara dalam talian ke akaun bank yang lain.
“Mangsa kemudian menerima panggilan daripada pihak bank menyatakan wang dari akaun mangsa dipindahkan sebanyak tiga kali dalam masa singkat ke dalam akaun bank lain berjumlah RM31,638.85.
“Mangsa baru menyedari ditipu dalam urusan bayaran saman PDRM terbabit,” katanya.
Pihak Polis Beri Peringatan Kepada Orang Ramai
Susulan daripada kejadian ini, Hussein mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan sentiasa berjaga-jaga dengan penipuan dalam talian yang mensasarkan individu yang mempunyai saman trafik.
Malah, orang ramai juga diingatkan agar tidak melayan sebarang emel daripada pihak PDRM bagi urusan pembayaran saman.
Menurut beliau, PDRM tidak menggunakan e-mel sebagai medium perhubungan kepada individu bagi pembayaran saman.
“Sebelum ini juga pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM telah mengeluarkan amaran melalui laman Facebook berkaitan perkara ini dalam tajuk: (Hebahan) Amaran Scam: Waspada Hantaran E-Mel PDRM Mengenai Tawaran Kompaun Saman Sebagai Taktik Sindiket Penipuan,” kata beliau.
SCAM ALERT : Phishing melalui e-mel saman trafik palsu. Pastikan anda membuat semakan di laman web atau aplikasi…
Posted by Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM on Sunday, 6 August 2023
Tambah beliau lagi, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan tidak mendedahkan segala butiran peribadi seperti username, password, One TimePassword (OTP) atau Transaction Authorisation Code (TAC) kepada individu, laman web atau aplikasi yang mencurigakan.
𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐒 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐍𝐆𝐎𝐑 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐊𝐄𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐈𝐏𝐔𝐀𝐍 𝐎𝐍-𝐋𝐈𝐍𝐄 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐆𝐔𝐍𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐄-𝐌𝐄𝐋 𝐏𝐀𝐋𝐒𝐔 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐘𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐓𝐑𝐀𝐅𝐈𝐊 𝐏𝐃𝐑𝐌
Posted by Polis Selangor on Wednesday, 6 September 2023
Baca Artikel Berkaitan: Polis JSJK Kongsi Cara Elak Ditipu ‘Scammer’ Hantar Kad Kahwin Digital [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Konon Culik Anak & Minta Wang Tebusan, Hati-Hati! Ini Taktik Baru Geng Scammer [Video]