fbpx
Now Reading
‘Geng Tasha’ Aktif Pecah Rumah Tumpas, Ketua Kumpulan Wanita Berumur 25 Tahun

‘Geng Tasha’ Aktif Pecah Rumah Tumpas, Ketua Kumpulan Wanita Berumur 25 Tahun

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, penumpasan ‘Geng Tasha’ sekaligus menyelesaikan dua kes pecah rumah pada bulan lalu yang melibatkan kerugian sekitar RM35,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebuah kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Muallim, Perak yang dikenali sebagai ‘Geng Tasha’ akhirnya tumpas.

Ahli ‘Geng Tasha’ yang terdiri daripada lima individu termasuk seorang wanita telah ditangkap polis pada 6 dan 7 September lalu.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 36 tahun itu diberkas dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Selangor.

Aktif pecah rumah untuk biaya perbicaraan kes di mahkamah

Difahamkan, kumpulan yang diketuai wanita berusia 25 tahun itu aktif sejak tahun lalu dan menjalankan aktiviti jenayah bagi membiayai perbicaraan kes pecah rumah yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, tiga suspek termasuk wanita itu ditahan Rabu lalu di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam dan Rawang manakala seorang lagi suspek diberkas di Sungai Buloh keesokan harinya.

Menurutnya, tangkapan yang dilakukan itu sekaligus menyelesaikan dua kes pecah rumah di Taman Bernam Baru pada bulan lalu yang melibatkan kerugian sekitar RM35,000.

Modus operandi tinjau dulu beberapa hari baru pecah masuk

“Modus Operandi geng ini, mereka akan melakukan tinjauan di kawasan perumahan selama beberapa hari sebelum menyewa sebuah kereta lain untuk memecah masuk rumah mangsa menerusi pintu belakang.

“Kumpulan ini juga akan mengunci semula pintu rumah menggunakan mangga baharu hingga menyukarkan mangsa untuk masuk rumah,” katanya dipetik Utusan Malaysia semalam (11 September).

Gadai barang kemas mangsa yang dicuri

Menurutnya lagi, ‘Geng Tasha’ itu kemudiannya akan menggadai barang kemas milik mangsa di beberapa kedai sekitar Batu Caves dan Jengka, Pahang.

“Dua kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi yang digunakan dalam aktiviti jenayah itu disita bersama nombor pendaftaran kenderaan palsu dan enam helai resit pajak gadai.

“Polis turut menemukan set kunci mangga, sebuah komputer riba serta peralatan seperti kuku kambing, sarung tangan dan lain-lain yang digunakan ketika kejadian,” katanya.

Semua suspek ditahan reman 8 hari, disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan

Berkongsi lanjut, beliau berkata kesemua suspek direman selama lapan hari sehingga Khamis ini (14 September) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pihak polis juga sedang mengesan seorang lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan terbabit yang masih bebas dikenali sebagai ‘Ah Fai’.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.