fbpx
Now Reading
Tiga Suspek Belasah Penunggang Motosikal Ditahan Polis

Tiga Suspek Belasah Penunggang Motosikal Ditahan Polis

Hasil siasatan awal menunjukkan kesemua suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Ahad (1 Oktober) yang lalu, tular di media sosial video memaparkan seorang rider atau penghantar makanan dibelasah oleh seorang lelaki.

Kejadian malang itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, Selangor pada jam 7.15 malam.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 21 tahun mengalami kecederaan di bahagian bibir, tulang rusuk dan kaki selepas dipukul oleh seorang pemandu kereta Proton Saga.

Malah, dia juga turut mengalami kerugian sebanyak RM250 selepas ‘cover set’ motosikal jenis LC135 miliknya rosak akibat ditendang oleh suspek.

Susulan daripada insiden ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan.

Tiga Suspek Telah Ditangkap

Terbaharu, tiga orang lelaki termasuk seorang daripadanya yang membelasah penunggang motosikal berkenaan telah ditahan polis.

Menurut Cha Hoong Fon, kesemua suspek yang berusia 28 hingga 39 tahun itu ditangkap kira-kira jam 6.30 petang semalam (2 Oktober). Hasil siasatan awal menunjukkan kesemua suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Ujian saringan mendapati suspek utama berusia 39 tahun positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kertas Siasatan Di Bawah Akta Dadah Berbahaya Turut Dibuka

Daripada kes ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat.

Bagi kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, jika didapati bersalah, individu boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan khianat, individu yang bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang, hari ini (3 Oktober),” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.

Kenyataan Media Ketua Polis Klang Selatan – Tangkapan Suspek Kes Pukul Di Tepi Jalan.

Posted by Polis Klang Selatan on Monday, 2 October 2023

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Proton Saga Belasah Penunggang Motosikal Di Klang Diburu Polis [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.