fbpx
Now Reading
1 Daripada 4 Remaja Di Malaysia Alami Kemurungan – Menteri Kesihatan

1 Daripada 4 Remaja Di Malaysia Alami Kemurungan – Menteri Kesihatan

Menurut Dr. Zaliha Mustafa, trend masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja ini menunjukkan peningkatan berbanding satu daripada lima remaja mengalami kemurungan pada tahun 2019.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Apabila menyebut tentang kesihatan, segelintir individu lebih menumpukan kepada kesihatan fizikal berbanding mental.

Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, dapat dilihat kebanyakan orang mengalami gangguan kesihatan mental seperti kemurungan, kecelaruan kebimbangan umum, panik dan gangguan tidur yang disebabkan oleh beberapa faktor antaranya seperti pengaruh persekitaran.

Kebiasaannya, masalah kesihatan mental sering kali dikaitkan dengan golongan dewasa dan bekerjaya. Namun, golongan remaja pada masa kini tidak terkecuali turut mengalami gangguan yang sama.

Satu Daripada 4 Remaja Alami Kemurungan

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) Tahun 2022, seorang daripada empat remaja di Malaysia mengalami gejala kemurungan.

Menurut Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa, trend masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja ini menunjukkan peningkatan berbanding satu daripada lima remaja mengalami kemurungan pada tahun 2019.

Foto: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022

Tinjauan tersebut turut menunjukkan remaja perempuan dua kali ganda mengalami kemurungan berbanding remaja lelaki.

Stigma dan Diskriminasi Kesihatan Mental Jadi Cabaran

Antara cabaran utama dalam menangani isu ini adalah stigma dan diskriminasi terhadap kesihatan mental yang menghalang akses terhadap rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang baik.

“Persepsi negatif ini perlulah dihentikan. Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal yang lain,” kata beliau.

Semua Pihak Memainkan Peranan Penting Bagi Bantu Pesakit

Bagi Dr Zaliha, semua pihak terutamanya ahli keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam menyokong, menggalakkan serta membantu individu yang mengalami masalah kesihatan mental bagi mendapatkan bantuan dan rawatan profesional.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan masalah kesihatan mental melalui aktiviti promosi terhadap masyarakat.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mengukuhkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti,” ujarnya.

KKM Turut Bekerjasama Dengan Pelbagai Agensi Rancang Dasar Tentang Kesihatan Mental

Tambah beliau, KKM juga turut bekerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan NGO dalam merancang dasar dan pembangunan program di samping pelaksanaan program advokasi di peringkat komuniti.

“Halatuju perkhidmatan kesihatan mental negara seterusnya akan turut dipertingkatkan melalui pendekatan platform digitalisasi.

“Usaha secara bersepadu ini perlu digalas oleh semua pihak ke arah menoktahkan stigma terhadap individu yang mempunyai masalah atau penyakit mental,” katanya.

KKM Wujudkan Talian Bantuan HEAL

KKM tahun lalu (2022) telah mewujudkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian HEAL 15555 khusus buat masyarakat yang memerlukan perkhidmatan bantuan sokongan kesihatan mental dan telekaunseling.

Sejak kewujudannya pada 21 Oktober 2022 sebanyak 26,139 panggilan diterima melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).

Daripada jumlah ini 65% atau 16,942 individu menerima bantuan sokongan emosi manakala 35% atau 9,197 yang lain menjalani intervensi khusus bersama Pegawai Psikologi Kaunseling.

Untuk info, Talian HEAL dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM dan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental HEAL 15555 (Help With Empathy and Love) beroperasi setiap hari termasuk cuti umum…

Posted by Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan on Tuesday, 15 November 2022

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Wanita ‘Lebih Tertekan’ Berbanding Pelajar Lelaki – Kajian

Baca Artikel Berkaitan: Pasca Covid-19: Semakin Ramai Alami Kesihatan Mental

Baca Artikel Berkaitan: ‘Membimbangkan!’ – 424,000 Kanak-Kanak Berdepan Dengan Isu Kesihatan Mental

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.