fbpx
Now Reading
Lelaki Dakwa Beli Beras Plastik Tampil Mengaku Sebar Berita Palsu & Mohon Maaf [Video]

Lelaki Dakwa Beli Beras Plastik Tampil Mengaku Sebar Berita Palsu & Mohon Maaf [Video]

Syarikat beras terbabit yang dikenali sebagai SazaRice Sdn Bhd telah menerima permohonan maaf lelaki berkenaan dan memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang lelaki menyebarkan video dakwaan kononnya beras yang dibeli olehnya di Sandakan, Sabah adalah beras plastik.

Bagaimanapun, lelaki terbabit semalam (10 Oktober) telah tampil mengakui bahawa dakwaan yang telah dibuat olehnya itu adalah palsu sekaligus dia ingin memohon maaf.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Lelaki dakwa beli beras plastik tampil ke pejabat syarikat berkenaan

Menurutnya, individu berkenaan telah datang ke pejabat syarikat pemborong beras yang didakwa menjual beras plastik itu dan mengakui dakwaannya adalah tidak benar.

“Susulan siasatan dakwaan beras plastik dilakukan semalam, saya difahamkan seorang individu yang dipercayai adalah perakam video tular berkenaan menampilkan diri ke Syarikat SazaRice Sdn Bhd di Sandakan pada pagi ini (semalam).

“Saya dimaklumkan bahawa individu itu mengakui bahawa dakwaan beras plastik adalah tidak berasas dan jenama beras yang dituduh sebenarnya adalah beras tulen.

“Saya juga menonton sebuah video yang mana individu itu memohon maaf kepada Syarikat SazaRice dan pihak yang terjejas,” katanya.

Syarikat terima permohonan maaf dan beri amaran

Menurutnya lagi, syarikat terbabit menerima permohonan maaf oleh lelaki tersebut dan memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan atau menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai.

Dalam pada itu, Foong turut mengingatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang berita palsu.

Terdahulu, syarikat SazaRice telah tampil menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan lelaki terbabit yang sohor di media sosial.

Jelas syarikat itu, beras keluaran mereka adalah berkualiti dan mematuhi piawaian yang telah diktiraf oleh HALAL, HACCP dan ISO 9001.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Jual Beras Plastik Di Sabah: KPDN Jalankan Siasatan, SazaRice Nafi & Buat Laporan Polis

Video permohonan maaf dan akui dakwaan beras plastik tidak benar

SazaRice memuat naik video permohonan maaf lelaki terbabit di laman Facebook rasminya yang berdurasi 1.20 minit.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua yang menonton video beras plastik itu dan saya memohon maaf kepada syarikat SazaRice. Sebenarnya berita itu tidak benar.

“Kepada sesiapa sahaja yang telah kecil hati gara-gara saya sampai tidak beli beras itu saya mohon maaf. sebenarnya tidak betul, beras itu adalah beras asli,” kata lelaki itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.