fbpx
Now Reading
Ahli Parlimen Dilarang Buat ‘Live Streaming’ Ketika Dewan Rakyat Bersidang

Ahli Parlimen Dilarang Buat ‘Live Streaming’ Ketika Dewan Rakyat Bersidang

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Ahli Parlimen boleh menonton semula ucapan mereka menerusi aplikasi YouTube di saluran rasmi Parlimen Malaysia atau media massa yang lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (16 Oktober) Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak membenarkan semua Ahli Parlimen melakukan ‘Live Streaming’ (siaran langsung) sepanjang Dewan Rakyat bersidang.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini jumlah Ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di atas meja untuk melakukan Live di media sosial semasa berucap di sidang Dewan Rakyat semakin meningkat, malah tindakan itu turut disifatkan tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1).

Langgar Peraturan Mesyuarat 35 (1), Ahli Parlimen tidak dibenarkan buat siaran langsung dalam Dewan Rakyat

“Untuk makluman, Peraturan Mesyuarat 35 (1) mengkehendaki Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi.

“Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan (memandang) ucapan itu kepada Pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan itu.

“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat live streaming (penstriman langsung) dalam Dewan Rakyat,” ujarnya semasa bersidang.

Selain itu beliau berpendapat, Ahli Parlimen boleh menonton semula ucapan mereka menerusi YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta media lain.

Larangan itu bagaimanapun telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Beluran iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki yang meminta agar perkara tersebut dipertimbangkan semula memandangkan ia merupakan perkembangan teknologi di masa kini.

Sifatkan Ahli Parlimen berkomunikasi dengan audiens di media sosial

“Saya kat (di) atas ini perhati dan nampak dia akan adjust (melaraskan) setengah jam dan bila dia berucap, dia bercakap dengan audiens jadi dia tak berbincang masalah rakyat dalam dewan tetapi dia komunikasi dengan audiens dia.

“Ini sangat teruk, sebab itu saya minta bila datang sini, Yang Berhormat harus menyelesaikan masalah dengan meletakkan keutamaan untuk rakyat,” jelasnya lagi.

Minta maklumkan kepada pihak jawatankuasa untuk dibincangkan jika tak puas hati

Selain itu beliau turut terbuka sekiranya Ahli Parlimen ingin berbincang bersama pihak jawatankuasa untuk menambah baik ketetapan yang telah diberikan.

“Apa-apa juga yang kita tak puas hati, kita ada jawatankuasa jadi bolehlah Yang Berhormat tulis (kepada) jawatankuasa akhirnya kita ubah pindaan mesyuarat.

“Tiada masalah kerana peraturan bukan saya buat tapi kita semula melalui satu jawatankuasa.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.