Agong Beri ‘Greenlight, Speaker Boleh Gantung Ahli Parlimen 14 Hari Jika Bersikap Melampaui Batas
Baginda bertitah, adalah tidak masuk akal apabila penggubal undang-undang itu sendiri tidak mematuhi peraturan yang dibuat selain meminta semua ahli menjaga adab dan tatatertib apabila berada di Dewan tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Rakyat Malaysia pasti tahu bagaimana kerapnya berlaku kekecohan setiap kali Ahli Parlimen atau Dewan Negara sedang bersidang.
Malah adakalanya kerenah mereka tidak dapat dikawal sehingga ada yang terpaksa diarahkan keluar oleh Yang Dipertua Dewan Negara (Speaker) dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
YDPA beri peringatan kepada semua Ahli Parlimen dan Dewan negara pamer sikap baik
Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara untuk menunjukkan sikap yang baik sepanjang persidangan Parlimen berlangsung.
Baginda turut menitahkan agar semua Ahli Parlimen termasuk Dewan Negara untuk menjaga adab serta tatatertib dan menggunakan kata-kata yang sopan.
Ambil tindakan gantung selama 14 hari jika ada yang melampau
Sultan Ibrahim dalam masa sama memberikan kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Yang Dipertuan Dewan Negara untuk mengambil tindakan kepada mana-mana ahli yang bersikap melampaui batas dan mengenakan sekatan selama 14 hari daripada menyertai persidangan.
“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.
“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.
“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah Sultan Ibrahim, lapor Berita Harian.
Baginda berkata demikian sewaktu hadir merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada hari ini (26 Februari).
Baginda malu lihat sikap dan pertuturan ditunjukkan Ahli Parlimen dan Dewan Negara
Jelas Sultan Ibrahim, baginda malu untuk hadir persidangan Parlimen sebelum ini disebabkan tidakan serta pertuturan yang ditunjukan oleh mereka.
“Kalau tengok perangai ahli Dewan sebelum ini, saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini. Kedua-dua dewan perlu menjalankan tugas dengan tegas untuk memastikan semua masyarakat mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.
“Saya berikan ‘green light’ kepada Speaker untuk mengambil tindakan kepada ahli yang melampaui batas, boleh kenakan ‘banned’ (selama) 14 hari jika ada yang masih berdegil.
“Oleh yang demikian, saya berharap semua ahli Dewan akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini.”
Beri peluang dan harap semua lebih berjaga-jaga
Sebelum ini, baginda menegaskan titah sempena istiadat tersebut lebih halus jika dibandingkan sewaktu di Johor. Baginda turut memaklumkan ingin memberi peluang agar tiada yang tersinggung.
Namun dalam masa sama berharap Ahli Parlimen dan Dewan Negara lebih berjaga-jaga di masa akan datang.
Mengulas tentang perlantikannya sebagai YDPA, baginda bertitah tanggungjawab yang disandang sama seperti YDPA sebelumnya iaitu pengikut Perlembagaan, dasar serta peraturan yang telah ditetapkan.
“Kedudukan saya di sini, adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara.
“Justeru, saya meminta semua pihak, sama ada yang duduk di sebelah kanan (kerajaan) atau kiri (pembangkang), marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat,” titah YDPA lagi.